kasta


Telah aku patahkan kayu reput
yang menjadi jambatan lama
antara dua petik tali gambus kita.

Dengan api dari batu sungai
bakinya telah terbakar jadi arang.
Padanya anai-anai terbang
ulat menerawang, habuk melayang
dalam ritual dan bahang,
cuma untuk simpulkan kita sealun.

Abunya, telah ditabur
ke pelosok rimba buat dijamah
cendawan masa dan kulat lupa,
malah ada sisa tertiup angin
satu dan satu, telah jatuh
atas tanah tuhan, semadi.
Kita semua, lama jauh
Pada takdir tuhan, hakiki.

Aku runtuhkan jambatan karut
yang lama jadi dinding percaya,
cuma mahu, lagu kita setali.

Apunpital
00:13 am
18-11-08
Kazamidori-saitama

fuyu



Pokok kebotakan
Hujan berderaian
Pecah pada tanah keras.
Beku. Hari ini kaku.
Sejuk. Suhu celcius satu.

Kabus kepadatan.
Jalan kelicinan.
Salji kemungkinan.
Baju berlapisan.

Janji untuk penantian.
Aku bakal pulang.

apunpital
9:50pm
16-11-08
kazamidori-saitama

*fuyu = musim sejuk

pusara


Kemari aku pelukkan pundakmu
dengan dekap mimpi paling tinggi
dan kenalkan cinta ini semacam langit
bersih dan cerah waktu siang

dan, lelas rambut biar aku sisirkan
dengan jemari kasar yang selalu
mengupil duri pada awan munggil,
semacam pipi dan selembut tiap
benang rambut ini.

Dengarlah, aku ini yang dungu
membentang tujuh jambatan pelangi
jadi alas tiap rindu pada telapakmu
jangankan terluka pada jejak
kepada setiap inci harap ini.

Pandanglah, aku masih berdiri
di depan pusara tempat kau senyap
waktu langit cerita kita ribut.

Aku yang hilang, cuma punya
hujan untuk jadi kawan
dan kamu yang pergi.


Apunpital
00:50 am
10-11-2008

kazamidori-saitama

filosofi kematian 2


Filosofi kematian 2



Kami nyalakan api pada lilin peringatan
jadi cahaya jalan yang pernah belum kau lalu.

Bahawa awalnya nanti
engkau bakal kenal siapa Izrail,
kawan yang sehari mengintai 70 kali
teman yang bakal memancing rohmu.

Dengan takrifnya bakal dikail
mungkin direntap, atau disentap.
Ringan persis tujuh ratus hirisan pedang
haus, tak terbalas tujuh lautan
pasti! Ini janji kerajaan TUHAN.

Jalan gelap inilah sakaratul maut,
Kiri, kanan, timur, barat ujian.
"Minumlah, ini ayahmu suapkan
itu ibumu susukan,
sana kawanmu tuangkan."

Ini kisah dramatul maut
Satu babak sebelum “TUP”
roh bakal tergantung antara bumi dan langit.

Ini lilin kedua kami nyalakan
kalau belum terang tentang
Qadar Tuhan.

projek filosofi kematian e-2
wannorasliza :: syah alam

apunpital :: saitama

orbital


Aku telah berdiri, lama

memandang 7 arca langit

tempat kau mendongak

dengan bicara angkuh


sebelum kau kenal bumi bujur

dan skala bintang buruj,

aku telah siap melukis peta

jalan bumi dan lapan kawan

gelap langit dan laju cahaya.


Waktu kerlip mata kamu

mencari helium juga hidrogen

8.31 minit cahaya jauh

Dalam 5500 celcius matahari.

kaki ini sudah menginjak

1/6 graviti lemah di bulan.


Aku telah lama terbang

dengan helaian benang karbon


menunggu kau keluar

dari orbital pangkin kayu.


apunpital

5-11-08

2:32 am

kazamidori-saitama

Karya terpelihara