Siapa terbuai pada lelap waktu malam?
Terhayun terus atas reput buaian masa
lupa tentang duri semalu bertaburan
pada alas tanah.
Siapa punya sedar, hilang bawah pohon rendang?
Terus buta pada jatuh daun kuning
berderai pulang ke peluk dekap bumi,
juga pekak pada jerit kasar rantai ikat buaian
“bakal putus, bakal jatuh.”
Siapa tersengguk dengan dodoi goda angin?
Terus menghayun laju buaian mencari langit
belum sampai puncak bulatan
lagi putus rantai buaian
lagi jatuh
lagi terhantuk papan buaian
lagi berjurai darah, ke tanah juga.
Apunpital
Kazamidori
18 Mac 2009
5:27petang
"mungkinlah kita."
buaian masa
Links to this post Labels: alam , bangsa , puisi
Jalan Depan Istana
Jalan depan istana semalam bersepah
dengan lidah bangsa yang patah
dengan calar maruah ditarah.
Tar depan istana bercat darah
dari ketumbukan tentera bangsa
mahu selamatkan jiwa dirogol,
kemudian jadi sanskrit.
apunpital
9:32 pagi
8 Mac 2009
sehari selepas gerakan anti PPSMI di hadapan Istana Negara.
Links to this post Labels: bangsa , politik , puisi
Hujan
Sebentar kita biarkan bunyi mendiam
menunggu hujan bertatih perlahan
mengira jejak lemahnya pada tanah
berderai, langsung jadi air yang lepas.
Sebentar kita diam, dalam
menunggu payung tua ini kembang
menyandar kakinya dengan lemah
pada tangan kita yang gigil tergenggam.
Entah langkah hujan yang keberapa
payung ini mengembang semacam bunga,
senang menyambut jatuhnya air.
Membiarkan kita kehujanan dalam cinta.
2-3-09
*5:07am*
apunpital
kazamidori
Links to this post Labels: koleksi puisi cinta katak , perasaan , puisi




