Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

tangsi

klik untuk membaca di kapasitor.net .

Petikan tangsi-tangsi gitar lama itu sedikit sebanyak memberi gelombang tersendiri dalam emosi aku, sedang dia masih senang memetik satu demi satu nota di sana, atas pentas, atas kerusi. Baju merah petak hitam yang memang jelas sengaja disarungkan ke susuk itu, kononnya mahu bawa arus indie. Ah, cukup aku normal dengan baju itu. Memang kemeja plaid itu cukup lazim dengan band indie Malaysia. Jangan persoalkan sebabnya, kalaupun ada kemungkinan, hanya mampu aku andaikan baju itu banyak hubung kait dengan jeans. Levi, Gap, atau syarikat lain yang aku tahupun tidak pernah memang banyak menjual baju sebegini. Itulah, baju semacam papan dam aji, di atas sana, dulu takkan pernah dia mahu beli sekalipun, tapi jelasnya sekarang ini tampak cukup bersatu dengan lunak suaranya.

Bibir itu terus terkumat-kamit, sambil matanya kadang terkatup rapat, menghayati bait-bait dalam setiap serat lirik. Mungkin juga, mahu mengelakkan gemuruh meilhat sebegitu ramai peminat melangu di hadapan sini. Tapi, dia sudah biasa dengan mini konsert, gig, atau jamming, tak mungkin masih lagi gemuruh melampau seperti waktu kali pertama dulu. Pastinya dia mahu membaca lirik dalam mindanya.

“Tutupkan mata dan bayangkan kamu sedang membaca di atas lembarannya.”

Dia yang ajarkan aku begitu, saat aku kehilangan kata suatu masa dulu. Sengih kecil. Sampai sekarang masih belum termampu, masih belum terdaya, masih belum cukup kuat untuk membaca apa ada pada lembaran mindaku pada masa itu.

“Aku seakan menjadi kamu
Hilang
Dalam ruang rapuh ini,
Aku tak mampu berteduh
Dalam ruang tunduk ini
Tak mampu berlentok,”

Mengesat hidung. Sekali-kali kasut converse high-neck warna putih rona bintang itu dihentak perlahan pada kaki kerusi. Saiz lima. Mungkin sudah membesar sedikit. Lima setengah mungkin, lihat sahaja bagaimana lincah dia berjalan sekarang. Cukup tak betah duduk diam, jadual cukup rapi, dengan kuliah, dengan latihan, dengan persembahan, dengan jemputan peminat. Masih panas. Macam orang muda bercinta. Sampai waktu bakal senyap, bakal ada celaru, bakal keliru, bakal tertipu.

“Kenapa awak selalu bawa binatang ni ke hulu ke hilir? Tak .. apetuh, tak rimas ke?” :-?

“Benda ni tak lah sebesar awak.”

“Wo, jadi, awak nak cakap, saya lebih rimaslah dari benda… benda… benda hampeh ni.” [o.0]

“Don’t dare to said like that my dear.” >:(

“What? Say benda ni hampeh? Ha, alif, mim, pa, ya, ha, se-ngal!” (o.X)~

“=P . Don’t dare to say, awak lagi rimas dari benda ni. Kalau awak ni boleh saya junjung, bakal saya junjung. Kalau awak ni boleh saya bahukan, mehlah naik, kalau awak nak tengok saya dalam wad sebab patah tulang belakang.”

“Eeeei. Awak ni, saya berat kurang 10kg dari awak yang boroi tu tau!”

“Pardon?”

“Me asking, why you bring that guitar everywhere? Before this tarak pun.”

“Because, I want to sing u a song.” (-.-!

“Ho!”

Matanya bersinar semacam mutiara baru lepas digilap. Lebih-lebih lagi dengan contact-lense mata kucing, ditambah dengan cukup eye-lid, maskara dan macam-macam lagi. Kadang-kadang wajahnya yang cukup mungil itu kelihatan macam watak salah satu cerita anime. Cukup geram, lagi-lagi bila dia tersenyum gebar bila aku menamatkan nyanyian satu lagu untuknya. Tepukannya walaupun dari dua telapak yang masih lembut, buat aku tersenyum bangga, walaupun sendiri tahu suara aku tak lebih semacam anak-anak kecil menyanyi lagu sekolah di perhimpunan pagi.

Itulah harinya, bila dia meminta aku ajarkan petikan gitar. Itulah waktunya, seorang anak gadis dengan gaun hitam rona kelabu, dengan tudung merah jambu, dengan jemari masih kaku memetik gitar usia enam tahun lebih. Suara masih seperti sekarang, lunak. Dek itulah, aku lagi senang membetulkan letak jarinya, membetulkan cara petiknya dari menyanyi. Pabila lelah dan malasnya bertandang, aku yang menjadi mangsa untuk terus-terusan jadi pemusik latar untuk nyanyiannya.

Aku seakan menjadi kamu
yang malang

Di tepian hari,
bersimpuh lembut tanpanya

Di tepian waktu
bersila kalut dengannya,

Kala itu kamu sendiri bisikkan ke kolong telingaku, beritahu aku, selain syurga, apa lagi lebih indah? Dari melihat bibirnya yang masih berkilat dengan lip-gloss itu sibuk terbuka-katup sampai kekeringan. Keghairahan, melihatnya menyanyi waktu itu, melebihi dari segalanya. Keghairahannya, pada muzik dan gitar coklat tua ini, melampaui kehendak.

Sampailah tiba waktunya, mungkin tiada salah seorang antara kami berdua dapat menjangka bakal wujud hari yang serupa itu. Macam satu plot yang tak pernah patut wujud.

Hari di mana tiada lagi perempuan mungil kecil yang bermain gitar tua di sisi. Tiada lagi seorang bernama teman, kawan, yang sifat cukup perempuan ayu. Tiada lagi, manusia yang aku kenal dahulu. Semuanya, dalam satu detik genting, dalam satu malam pening, dalam satu SMS penting. Aku semacam bermimpi dan terus bermain dalam mimpi sendiri, perempuan yang aku ciptakan dalam tidak sengaja, akhirnya menjadi seseorang yang aku cukup benci.

Tapi, terkadang
mahu melangkah jelang,
Siapa kamu mahu tentukan aku?
Membawa aku searus
dalam kepuk usang
terus membawa aku

dalam kepuk itu
tak mahu lagi
terus bersimpuh pada urat ini,

Dia mendapat tawaran dengan band indie yang merupakan band kawan baik aku sendiri. Itu bukan kali pertama, aku rasa, kali kelima mungkin. Empat kali, aku tidakkan, empat kali aku suapkan betapa aku benci, empat kali dia turutkan. Kali kelima, entah dengan rasuk apa, entah dengan sumpah apa, dalam enam puluh saat, semuanya tamat dengan kata putus. Kata putus, dia menjadi vokalis utama. Hubungan kami juga, putus.

Semuanya menjadi satu noktah.

“Kita bakal duduk semeja dalam dua kerusi berlainan.”

“Kita bakal makan, dalam satu pinggan tapi lauk berlainan.”

“Who said I want to eat with you?”

“Er…. Ha, alif, mim, pa, ya, ha, bo-ngek!” Matanya menjeling tajam. “Orait, someday I will be a great singer. And then u will beg me to the lutut tau. Then awak taula, betapa makan sepinggan dengan saya itu just like golden rain okey.”

“I don’t ever want diamond rainpun. I didn’t care, if I eat on the pelepah pisang,” aku diam. “But…”

“Hm.. please, I am joking, I will sing a song only, and only for you. But apa-apapun, you will beg untuk makan one pelepah pisang dengan saya”

Never, WEK!”

Never, dan tidak akan berlaku langsung. Malah, aku rasa ayat itulah penipuan paling jelak aku terima. Sekarang dia di hadapan ratusan peminat sendiri. Malah aku sendiri tenggelam dalam laut ini.

Wahai laila yang majnun
juga uda dara yang luka lara
tinggalkanlah versi aku
yang masih berbayang

pergilah dari sisi aku
yang masih tak pudar

Aku menolak kerusi plastik itu sedikit kebelakang. Sempat menjeling penonton lain di sebelah kanan yang sibuk terkumat-kamit. Aku bongkokkan sedikit mengambil beg kertas yang terpampang wajah seseorang yang seperti aku pernah kenal pada wajahnya, tapi jelas, tidak pada inti dan nafsunya. Kemudian, dengan sedikit menunduk, badan ini digerakkan ke celah-celah manusia yang dari tadi, rasanya tidak lepas memandang ke pentas sederhana besar itu.

Wahai tuah dan dewi ledang
beri aku ruang pada sempit ini,
beri aku luang pada sedikit ini
nanti mampu terbang
jauh dari sakit ini.

Aku sempat menoleh sekali dua, sebelum meloloskan diri ke kerusi terakhir dalam barisan ini. Sampai sahaja di situ, satu tepukan gemuruh cukup kuat, dari bawah pentas. Seorang demi seorang berdiri, dan dalam keributan itu, aku berundur ke belakang. Mencari pintu keluar. Mungkin daun pintu ini menjadi laluan terkahir antara aku dan dunianya. Mungkin dinding antara susur gajah di luar dan dewan ini menjadi pemisah pertama setelah sekian lama. Mungkin, darjat, angan, realiti, dan hidup mati antara aku dan dia akan terpisah dengan membran ini. Kemahuan.

Aku senyum kepada penjaga pintu di belakang. Dia senyum dan mengangguk kecil, seakan faham aku mahu keluar. Sesaat dua mata kami bertentangan, sebelum tangannya memulas tombol dan menolak pintu keluar. Angin bahang dari koridor menyapa ruang antara jemari ini, sebelum aku melangkah keluar.

Badan dipusing, aku memandang ke atas pentas.

“Kenapa awak sayang saya?”

“I have a lot of reason”

“Jadi beritahu saya, cerita semuanya sampai saya tertidur dekat sebelah awak.”

“Hmmm, hmmm, kejap ek. Hmm.. Hm.. Macam mana nak bagitau he?”

“Hmmm…” dia mengejek, matanya yang bulat itu diputar-putar. Sedikit tanda protes.

“Err… betullah ada a lot”

“In fact awak tak tahukan, kenapa awak sayang saya? Kan? La la la.”

Aku lepaskan langkahan terakhir, antara dua zon ini. Meninggalkan segalanya. Mengeluh.

“Tapi saya tahu kenapa saya sayang awak.”

Menoleh. Aku rasa aku belum pekak, untuk mendengar bunyi itu dari celah pintu yang masih terbuka. Aku juga tak rasa cukup dungu, untuk rasa suara itu bukan untukku.

apunpital
a time in 2008
kazamidori-saitama

rahsia

sila klik play, untuk dapatkan bunyi latar.


Catatan Tanaka Ai ,10 September 2008 , 5:53 am.******* Station , Japan.

Cerita ini adalah rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Malah, tak ramai bisa menceritakannya, tentang seorang perempuan yang menunggu kekasihnya untuk satu masa yang panjang. Mereka tak pernah berkahwin, malah tidak mungkin. Tapi, masih di rumah yang kecil untuk memuatkan dua jasad, mereka berdua berkongsi satu nafas, setia bersama atas satu katil, berkongsi satu bantal, dan bersama dalam satu mimpi. Kalau mereka keluar, tak ada langkahan tanpa empat tapak kaki. Sesiapapun tahu tentang kisah mereka, tentang pasangan yang tidak pernah hilang salah seorang. Tidak pernah senyum mereka kurang. Sentiasa, bersama.

Sehinggalah, suatu pagi, di mana tak ada siapa pernah menduga, walaupun derai cahaya mentari dan bunyi burung pipit masih malar, tapi hari mereka bakal bergerakbalas dengan manipulasi takdir. Takdir atas sehelai surat yang membawa perpisahan mereka berdua. Pasangannya, menerima tawaran paling tak mungkin ditolak, malah impian sejak dari dia tahu makna angan. Menjadi pelakon dalam satu produksi filem besar di bandar. Di stesen inilah, dekat hujung sana, pertama kali dalam sejarah mungkin ajaib, mereka berpisah. Dekat kerusi sanalah, perempuan ini melihat pasangannya buat kali terakhir. Matahari musim panas, tak mampu menyejat air matanya, malah kalaupun musimnya penuh beku dengan salji, tak rasa mungkin bahang esaknya terkalah.

Teruslah, perempuan itu hidup keseorangan, dengan bilik kecil, dengan perasaan serba kerdil. Menunggu sebarang khabar berita dari si dia yang jauh. Satu waktu yang sangat lama, lebih lama dari helaian daun kuning jatuh berkecai, kemudian hijau kembali pada musim bunga. Sekejappun, dia mesti ada di pintu stesen, menunggu kalau mimpi untuk merangkul pasangannya terealisasi.

Survivalnya untuk menongkah sepi akhirnya tamat pada hujung musim bunga. Waktu sakura berterabur atas rerumput segar, waktu yang sama, di televisyen dia melihat perkahwinan pasangannya dengan selebriti terkenal. Matanya tak terkebil, tapi retaknya sangat jelas, dalam anak mata yang retak itulah, wajah pasangannya, dalam gaun putih tersenyum senang.

Puas dinafikan yang perempuan sedang berdiri gah dekat majlis mungkin paling gemilang itu adalah pasangan yang ditunggunya sepanjang ini. Tapi semuanya mustahil. Akhirnya, dengan kemustahilan untuk penafian satu magis realiti paling tragis itu, dia kembali ke sini. Stesen tempat mereka berpisah buat kali pertama dan mungkin selamanya, berdiri dekat hujung sana, memegang tiket bertulis nama bandar besar tempat pasangannya. Matanya cukup merah untuk menggambarkan betapa lama sudah dia menangis, keseorangan menunggu tren datang.

Waktu itu, 11:54 malam, hari Sabtu, 10 September 1988. Mereka katakan, perempuan itu terjun ke rel, meninggalkan segalanya selain titisan air mata pada kerusi di sana.

Perempuan itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius. Mayatnya telah dibakar walaupun tiada siapa yang menuntut abunya, walaupun orang yang paling ditunggu. Tapi, tak ada sesiapapun tahu, sebab dia masih di kerusi itu, setiap malam Sabtu, memegang sekeping tiket, dan masih menangis.

Cerita ini adalah rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Kalau kamu tanyakan, sebab aku tahu ceritanya. Aku akan beritahu satu lagi rahsia yang tak pernah tercerita oleh masyarakat di sini.

Malam itu, waktu tren datang, akulah yang menolaknya ke rel.

Aku tak mahu l;agi keseorangan menunggu di sini.

***************************************

Tanaka Ai disahkan meninggal akibat bunuh diri. Laporan polis mencatatkan dia mengalami tekanan perasaan . Mengikut fakta dari pemandu tren, Tanaka Ai keseorangan sewaktu melompat. Ini adalah kes kedua di stesen ini, selepas kes pertama berlaku pada 11:54 malam, 10 September 1068, hari Khamis, juga membabitkan seorang perempuan bernama Tanaka Ai.

Tanaka Ai ,10 September 2008 , 5:53 am.******* Station , Japan.

doa


Apunpital
6:34, 13 June 2008

Pagi yang biasa. Matahari yang mula mengelitik awan nipis itu tak beri cahaya lebih ke dalam hatinya. Awan terus berlalu, sama gerak dengan angin lembut jam 7:50 pagi ini, tapi dia masih kaku. Dia tahu memang sekarang jam 7:50 pagi, tapi bukan dari pergelangannya, di situ hanya ada kulit kering dan kosong, tapi kerana matanya berkali-kali mengerling jam besar di belakang kawasan perhimpunan. Rasanya sudah dua tiga kali pengawas mengarahkan dia berdiri tegak, tapi dia endahkan. Hatinya tak sabar. Lama sudah dia menanti.

Lama, sejak dari guru besar baru bertukar, dan ada program baru sewaktu perhimpunan pagi, dia menanti hari ini. Resah, kurang dari sepuluh minit perhimpunan akan tamat, tapi tak juga ada program itu. Belum pernah lagi selewat ini, belum pernahpun sekali dibatalkan. Malah, kalaupun hujan lebat, akan diadakan juga di kantin. Tetap ada. Mesti ada. Dia tunduk, menguis kaki beberapa kali. Rasa bagai mahu menitik air matanya, kecewa. Namun cepat sahaja dia pendamkan rasa itu, terutama bila ada pelajar berbaju biru mendekatinya. Badannya ditegakkan, pengawas tadi berdiri di sebalahnya.

Orang yang sama. Bau bedak yang sama dari tadi. Dari hujung matanya dia nampak pengawas itu mula mengeluarkan pen dan buku denda. Ah, kacau. Jantungnya berhenti sebentar.

“Muhammad Afiq bin Zainal.”

Jantungnya berhenti untuk lagi sesaat. Bunyi pembesar suara tak berapa jelas, tapi, apabila pelajar lain mula memandang ke arahnya, dia yakin itu nama yang disebut. Dia tersenyum, dan lebih lebar saat pengawas tadi menyimpan kembali pen dan buku dendanya.

Dia bergerak ke hadapan, langkahannya diatur kemas. Waktu yang sama telapak tangannya diintai. Takut-takut baris doa yang ditulis menggunakan pen sebelum ke sekolah tadi subuh, terpadam. Bibirnya senyum senang bila melihat tulisan itu masih pekat. Walaupun malam tadi dah dicuba untuk dihafal, tapi masih juga dia buat persediaan. Takut terlupa dek gubra, dek gelabah. Hari ini, dia mahu jadikan berlainan dengan hari lain. Doa hari ini bakal ada tambahan.

Songkok lusuh di atas kepalanya dikemaskan, sebelum mendaki anak tangga. Satu, dia nampak Guru Besar tersenyum manis. Dua, matanya tertancap pada mikrofon yang setiap pagi, sejak lima bulan yang lalu digunakannya untuk membaca doa. Tiga, waktu dia mula berpusing ke arah mikrofon itu, guru besar tiba-tiba menghulurkan tangan untuk dijabat.

Kakinya terkujat, mukanya terpisat. Keliru. Tapi, bila guru besar menggerakkan tangannya sekali lagi, cepat sahaja dicapai dengan kedua belah tangan dan dicium hormat. Saat tangan mereka berenggang, ada bungkusan kecil dibawa ke atas pentas. Dia menggaru kepala,

“Cikgu, hari ni saya tak payah baca doa mula kelaskah?” Tak sengaja mulutnya mengaju soalan, tak sengaja juga suaranya cukup kuat untuk sampai di mikrofon dan didengari satu perhimpunan. Habis barisan guru dan murid tergelak geli hati.

Guru besar, juga tak terkecuali, tapi pantas menutup mulutnya. Lelaki lima dekad itu mencapai mikrofon. Pelajar mula kembali mengatur baris. Barisan guru mula berbisik perlahan.

“Ustaz kecil kita ini tak sabar nak baca doa.” Bibirnya yang dikelilingi dengan misai nipis dan janggut tebal itu tersenyum. “Sampai tak dengar pengumuman saya sebentar tadi mungkin.” Murid-murid di hadapannya, dengan spontan tergelak.

“Sabar, jangan gelak kuat sangat. Murid-murid, kamu semua ikut cikgu ya.” Semua pelajar diam. Afiq juga diam. Dia masih kabur, mukanya cukup menggambarkan betapa dia kalut di atas sana.

“Allah selamatkan kamu,
Allah selamatkan kamu.
Allah selamatkan Muhammad Afiq.
Allah selamatkan kamu.”

Suara guru besar yang garau dan jelas kurang sedap itu, diikuti oleh semua murid. Sedikit demi sedikit, jadi seakan alunan yang memang tidak elok nilai melodinya, tapi cukup tinggi nilainya untuk Afiq. Barisan guru turut berdiri, sama-sama mengalunkan lagu empat baris itu.

Matanya merah, dia teresak kecil, tapi masih dipaksa bibirnya untuk senyum. Saat itu, bila lagu sempena hari lahirnya itu mulai sedikit demi sedikit menjadi perlahan, belakang badannya ditepuk perlahan oleh guru besar. Bungkusan tadi, dibawa ke atas oleh pembantu pengacara majlis, dan guru besar menyampaikan sendiri ke tangannya.

“Selamat hari lahir Afiq.” Afiq, mencapai bungkusan itu dengan kemas, kemudian cepat mengucup tangan lelaki tua itu. “Terima kasih ayah.”

“Mulai hari ini, setiap pelajar kita akan beri hadiah hari lahir. Kita akan belajar menghargai umur dan meraikan rakan kita.” Suara guru besar dibalas dengan tepukan gemuruh dari para pelajar.

“Hari ini hari jadi Muhammad Afiq, cikgu pilih dia sebagai orang pertama bukan kerana dia anak cikgu, tapi kerana dia pelajar contoh. Sebelum cikgu kenal dia lagi, ramai cikgu yang lain banyak ceritakan tentang sikap cemerlangnya. Muhammad Afiq, awak boleh baca doa sekarang.”

Anak kecil itu mengesat air matanya. Mengawal perasaannya bagi mengelakkan bacaannya terganggu. Dengan tangannya memegang bungkusan tadi, ditadahkan tangannya dan merapatkan bibirnya ke mikrofon. Murid-murid lain turut mula menadahkan tangan.

“Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha mengasihani…”

Guru besar mencapai bungkusan tadi dan meletakkan di meja sebelah pentas. Nasib baik, kalau tidak, mesti dia tak dapat membaca doa tambahan pada telapak tangannya. Bacaannya diteruskan, lembut dan teratur. Seperti biasa, dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah, diikuti dengan doa penerang hati, doa awal pagi, doa pelajar. Dia berhenti sesaat dua, selalunya sampai di sini doanya akan tamat dengan selawat ke atas Rasulullah, tapi hari ini tidak. Semua orang memandang ke arahnya. Semua, termasuk tukang kebun yang turut berhenti untuk sama-sama berdoa.

“Ya Allah, ampunkanlah diriku dan kedua ibu bapa ku, dan kasihilah mereka seperti mana mereka mendidikku sewaktu kecil.” Dia menelan liur. Buat pertama kali dia membaca doa ibu bapa di sini.

Setahun yang lepas, hari yang sama, dia tidak peroleh apa-apa untuk hari jadinya. Tapi, sepanjang kelas, sedaya upaya dia melipat origami burung jinjang sebanyak mungkin untuk diberi kepada ibunya. Hari ini hari jadi ibunya juga. Masakan dia mampu untuk membeli hadiah. Mahu menabung duit poketpun, jauh sekali. Ibunya memang tak pernah memberi wang belanja, makan minum waktu rehat semua disiapkan dalam bekal. Afiq paling suka bekal nasi goreng ibunya. Walaupun kosong, cuma ada telur sebagai peneman nasi, tapi itulah yang paling enak.

Dulu pernah dia kepingin nasi lemak kantin, puas diampu kawannya untuk sejamah cuma. Tapi, bila disuap ke mulut, susah benar mahu menelan. Entah apa yang kurang. Memang sukar sungguh dia makan makanan selain dari air tangan ibunya.

Tahun lepas, tarikh ini, bekal nasi goreng ibunya cepat dihabiskan. Hari ini ada tambahan ayam goreng. Enaknya, tak boleh digambar. Dia tahu, itulah satu-satunya hadiah hari jadinya. Tapi ibu takkan pernah melafazkan pada mulut. Ibu tidak akan lafazkan pujian. Namun kalau dia marah, cepat sahaja terzahir, lebih lagi kalau berkaitan dengan hal persekolahan.

Habis sahaja nasi goring istimewa, terus kertas kecil dilipat-lipat sampai jadi seakan bentuk burung. Kertas itu, cumalah baki helaian buku nota tahun lepas. Mujur ada kertas warna-warni tambahan dari saki-baki projek kelas pendidikan seni, boleh manambah ceria walau sedikit. Siap satu, dilipatnya satu lagi. Sampailah loceng rehat tamat.

Waktu kelas puala, burung-burung itu ditampal ke atas sekeping kertas kadbod. Itupun, juga lebihan dari kelas pendidikan seni. Ditampalkannya berbentuk hati, dan di tengahnya Afiq lukis gambar seorang lelaki, seorang perempuan dan seorang anak kecil.

Dibawah lukisan itu, ada tulisan “Abah, ibu dan Afiq”. Kemudian, di bawah bentuk hati itu, dia tuliskan “Afiq sayang ibu. Terima kasih ibu. Selamat hari lahir. Terima kasih sebab lahirkan Afiq dan sayang Afiq. Terima kasih Ibu dan Abah. Afiq sayang semua.”

Bila loceng tamat kelas berbunyi, Afiq pantas berlari ke rumah. Hatinya pingin cium tangan ibunya, mahu peluk perempuan itu erat-erat dan sampaikan hadiah ini. Dia mahu tolong ibunya masak sambil menunggu ayahnya pulang dari kebun. Kakinya laju sahaja berlari. Dia mahu buat semuanya dan beri ibunya gembira.

Bila keluar sahaja dia dari pagar sekolah, sebuah kereta Proton Wira dua tiga kali membunyikan hon dan berhenti di sebelahnya. Kereta Cikgu Ahmad, guru besar ketika itu. Tanpa tahu alasannya, dia turut pelawaan Cikgu Ahmad menaiki kereta ke rumahnya. Waktu itu, hatinya terasa lain.

Kereta Proton Wira Cikgu Ahmad meluncur laju, seakan itulah laju degup jantungnya. Tangannya menggenggam kadbod biru itu erat. Semacam rasa tidak enak menjalar sekalian urat-uratnya. Resah.

“Afiq sabar ya.” Suara Cikgu Ahmad seakan menambah serabut dalam jiwanya. Sampai di simpang terakhir sebelum ke rumahnya, dia seakan hampir tahu apa yang berlaku. Ada banyak motor bersusun di tepi jalan, malah Cikgu Ahmad juga terpaksa berhenti dekat simpang itu. Bila tayar kereta itu statik, cepat dia tolak pintu kereta biru itu, dan berlari ke arah rumahnya,

Dia nampak asap tebal, dan tahu itu dari rumahnya. Dia nampak kereta bomba, tak silap lagi, memang rumahnya. Dia nampak api merah menyala, jadi selimut yang tutup habis rumahnya. Dia nampak kain baju masih tersidai, ibunya tak kelihatan. Dia nampak motor Honda tua, tapi ayahnya juga tak kelihatan. Hatinya bagai sama luluh terbakar, bila terlihat dua pasang selipar milik abah dan ibunya ada di depan pintu.

“Ibu!!! Abah!!!” kertas kadbod itu terlepas, kakinya laju ke pintu rumah. Orang ramai yang sibuk membawa baldi air dilanggar. Dia menyusup laju. Selangkah dua, dia rasa macam sedang terbang. Memang dia tak jejak tanah, sepasang tangan mengangkat badan ringannya dan mengalihkan ke tempat lain. Dia menjerit, sekuat mungkin, malah lebih kuat dari siren bomba.

Badan kecil itu, tak henti meronta, tangannya menghentak-hentak orang yang memegangnya. Kakinya melantun-lantun menyepak tanah dan angin. Dia mahu lepas, mahu masuk ke dalam api dan selamatkan ibunya.

“Lepaskan Afiq, tolonglah. Ibu dengan abah Afiq kat dalam. Tolonglah, lepaskan Afiq. Afiq nak cium tangan ibu. Tolonglah.” Air mata mula mengalir. Tapi masih dia meronta keras.

“Tolonglah! Lepaskan Afiq!”

BOM!!!

Senyap. Jeritan Afiq dibalas dengan bunyi letupan dari dapur rumahnya. “Ibu! Afiq nak bagi hadiah. Jangan pergi. Jangan tinggalkan Afiq ibu.”

Api menjulang tinggi, atap melayang jauh.

“Pakcik, lepaskan Afiq, Afiq nak bagi ibu hadiah tu. Pakcik tolonglah, harini hari jadi ibu.”

BOM!!!

Lagi satu letupan dari belakang rumahnya. Cukup membuatkan rumah itu runtuh ke tanah.

Semua senyap melihat satu demi satu kayu jatuh dan ditelan api. Lutut Afiq longgar, dia turut sama longlai. Afiq pengsan.

“Ya Allah, kau cucurilah rahmat ke atas arwah ibu dan abah Afiq. Ampunilah dosa mereka, dan hantarkanlah mereka ke syurga. Ya Allah, izinkan Afiq cium tangan ibu dan abah sekali lagi dalam syurga. Ya Allah, kau gembirakanlah ibu Afiq sempena hari lahirnya juga, seperti mana kau gembirakan Afiq hari ini.” Afiq menyeka air matanya. Begitu juga dengan ramai guru dan pelajar lain.

Cikgu Karim memeluk anak angkatnya. Sejak lima bulan lepas, dia tak tahu hari ini juga hari lahir arwah ibu Afiq. Cikgu Ahmad yang bersara waktu itu, mengamanahkannya untuk menjaga Afiq. Dia tahu semua cerita tentang pelajar itu. Dek kebakaran itu, dia hilang segalanya kecuali kertas kadbod yang dibuatnya itu. Itulah, satu-satunya harta yang dia punya. Satu-satunya gambar ibu dan bapanya.

Dikhabarkan, arwah ayah Afiq pulang awal ke rumah untuk membantu arwah ibunya membuat kek untuk Afiq. Waktu itulah, waktu mereka sedang membuat kek untuk satu-satunya anak tunggal mereka, Allah hentikan cerita mereka di dunia ini.

Jam besar di belakang kawasan perhimpunan berbunyi lapan kali. Afiq tamatkan doanya dengan selawat ke atas Rasulullah, dan semua pelajar berganjak ke kelas. Hari ini, ramai pasti yang mahu lekas pulang dan cium tangan ibu dan ayah. Pagi yang biasa, masih terus awan berlalu.

Apunpital
Jam 9:07 malam., 13 Jun 2008
307, kazamidori gurando haitsu 2.
Saitama-Jepun.

:: doa di kapasitor ::




rajawali e2

sambungan kepada RAJAWALI


“Tiga mangkuk perak dari tiga gua berisi tiga jenis darah.”

Azil diam, dia tahu tiga gua yang dimaksudkan, memang ada gua terlarang sekitar hutan ini. Malah digelar dengan bilangan tertentu. Dekat bahagian bintang gelap, yang berjarak dua hari menunggang kerbau, ada Gua Tunggal, ini gua terpelihara rapi. Hanya bakal raja mampu bertandang ke gua ini. Diceritakan, ada makam pelanduk putih belaan Parameswara. Dek nama pelanduk putih itu Tunggal, maka diberikan nama Gua Tunggal. Mungkin juga kerana gua itu hanya ada satu pintu masuk. Mungkin kerana kedua-duanya.

Setentang arah dengannya, di bahagian Timur, ada Gua Batu Kembar. Asal namanya, Gua Batu Belah Batu Bertangkup. Duduknya, dekat benar dengan hilir sungai. Terkenal dengan lubuk ikan tembakul, tapi, sudah berketurunan tak pernah orang jejakkan kaki ke sana. Berpuaka, kata orang lama. Sampaikan untuk mengelak badi, ditukar sahaja namanya kepada Gua Batu Kembar.

Terakhir, Gua Daik. Betul-betul dekat gunung lagenda Gunung Daik. Tak seperti dua gua sebelum ini, gua ini tak berada di daratan. Harus menongkah ombak ke Pulau Pandan. Guanya juga, bukanlah gua daratan, tiga pintu masuk yang berada di setiap cabang Gunung Daik, berada di bawah aras pasang air. Gunung Daik sendiri, takkan terlihat kalau waktu air pasang.

Itulah yang disusahkan, itulah yang dipayahkan, kerana dara yang mempersenda, biar keranda jadi puaka, tetap dikejar, tetap dikejar.

Kalau kedudukan tiga gua, tidaklah membebankan, semuanya dipermudahkan hendaknya. Mana tidaknya, perjalanan mencari Mak Jah sendiri, memerlukan dia faham benar dengan selok belok tanah, air dan langit. Melangkah dengan rapi, berlari dengan sepi, kalau terlangkah silap sekaki, habis rosak sebadan nanti. Santap biar memilih, tidur biar berkalih, membuang air biar bersih, mengambil jangan lebih. Mulut jangan cabul, hati biar betul, baru macam pedang dengan cembul.

Itu semua pantang larang tersemat rapi dalam susur darahnya. Tapi, masakan dia tahu tentang tiga jenis darah yang dipinta. Matanya berkebil-kebil.

“Pelanduk putih, naga tasik chini, juga gajah batu si kelembai.” Suara Mak Jah bergema dalam gua kecil itu. Terkedu. Dicarinya usul gema tadi, tapi Mak Jah hilang sudah. Baru perasan. Gila.

***

Bunyi dari gelakan Ros terus memenuhi ruang kosong rumah ini. Tujuh bayangan lelaki dibelakangnya, terlalu sedikit kalau dibandingkan dengan kemampuannya. Dia mampu lebih lagi, beratus mungkin. Tapi, tujuh itu terlalu ramai untuk Azil. Lemah, lemau, lembik. Tangan kanannya terus melekap di dada lelaki itu. Dia tahu, Azil, akan rasa jantungnya seakan diperah, atau digelitik, atau digenggam. Lawannya terus mencungap. Titis-titis darah yang keluar dari tepi bibirnya, cukup jadi bukti menunjukkan betapa jantan itu tak mampu bertahan lebih lama.

Malah, Pisau Perak Rajawali masih tertanam separuh pada bahu Azil. Silap gerak, boleh lumpuh jantan pondan ini.

Kepalanya berpaling. Tangannya kirinya digenggam, kecuali ibu jari dan jari kelingking yang dilunjur ke arah tujuh lembaga tadi. Serentak, semua pelita lain terpadam, yang kelihatan cuma balam-balam pelita dari dekat lembaga paling hujung. Ros tersenyum, ada rasuk-rasuk kegeraman pada kocak wajahnya, dua lembaga tadi turut senyum.

Dua dari tujuh

Tunjukkkan apa itu rapuh

Lepaskan api dalam semur kabur

Aku bebaskan

Kamu hancurkan

Tangan kirinya dihayun pantas ke arah Azil. Saat yang sama, tangan kanan yang tadi di dada Azil, diangkat. Senyum.

Azil turut senyum. Peluang. Jari telunjuk dari tangan kanan dan kirinya dicantumkan, serentak, tiga jari lain disilangkan sesama sendiri. Telapaknya bercantum, kecuali telunjuk yang mengarah ke jasad Ros.

Dua lembaga tadi terus bergerak ke arah Azil. Seakan melayang. Kuntuman di bibir Ros, menguncup dengan tindakan Azil. Buntu. Namun, dia yakin, Azil tak mampu lolos dalam situasi ini. Dia yakin benar, kerana lelaki di hadapannya itu…

“Aku bukan bodoh,” Azil bersuara kecil. Dalam anak matanya, ada wajah Ros terjegil. Seakannya terkejut. Lelaki itu menghela nafas, telapak tangannya yang bercantum tadi, dibuka dihadapan wajah Ros.

Dengan sumpah gajah batu

Pada kelembai aku sembahkan

Dengan saka seribu Satu

Dari kelembai aku sumpahkan

Pergerakannya lemah. Suaranya turut sama lelah, namun habis sahaja urut sumpahnya, ada sekian cahaya putih terang dari telapak tangan yang penuh sisa darah kering itu. Ros terdiam. Dua lembaga terus melayang ke arah Azil, tapi seakan-akan tersangkut dalam cahaya yang mula berubah bentuk itu.

Saat demi saat, garis-garis cahaya tersebut, mula menjadi wajah seakan manusia, mungkin lembaga. Bulu kening tebal, hidung kemik, telinga besar, malah seakan telinga gajah.

Terkejut. Mata Ros yang tadi kecil kerna senyum dan gelaknya, terjegil. Jarinya dilunjur lagi, dengan lebih keras hentakannya. Urat-urat dekat tangannya timbul. Lembaga nan dua itu, seakan makin berpayah untuk menembusi cahaya berwajah pelik itu.

Sekejap, dari wajah tadi, mula terserlah baris gigi yang jongos dan jarang. Buruk. Otot kaki Ros mengejang. Buat pertama kali malam ini, malam yang sepatutnya jadi medan pesta untuknya, Perempuan itu mula kaget. Wajah kabur dalam cahaya putih di hadapannya itu, jelas Si Kelembai. Yakin benar. Tak sangka Azil yang lembik ini mampu menyeru semangat Kelembai.

Bibir kelembai bergerak, mulutnya mula terbuka.

Geram. Mata Ros merenung tajam wajah Azil yang sedia senyum. [Panjang benar akalmu jantan.]. Kedua belah tangannya terus menutup telinga. Pergerakan dua lembaga tadi berhenti serta-merta.

Tangan Adil, yang tadi menghadap ke arah Ros, ditarik ke dadanya, lantas dihentak ke lantai sekuat mungkin. Entah kudrat mana yang datang singgah, sampai saja kulitnya ke kayu jati di bawahnya, berkecai terus kayu tersebut. Habis bergegar tiap penjuru rumah. Mayat ayahnya di dinding, turut bergegar dan jatuh, meninggalkan kepala dengan leher berpancut-pancut darah.

Si kelembai yang buruk itu mula mengeluarkan suara.

Azil jatuh ke bawah. Dari celah kecai-derai kayu tadi.

Kelopak mata Ros terkatup rapat. Tangannya menekap kuat telinga. Seboleh mungkin, agar tak kedengaran suara kelembai yang bersumpah batu. Sambil-sambil cuba diingatnya mana-mana sumpah, apa-apa seranah yang boleh mematahkan kelembai. Tapi, setakat ini, buntu.

Di bawah rumah, dengan lecak-lecak air hujan. Azil dengan badan ayahnya terbaring. Cepat Azil bingkas. Untung badan bahunya tidak singgah dahulu ke darat. Kalau tidak, habis Pisau Perak Rajawali ini menjamah lebih jauh ke dalam bahu. Cepat, dicabutnya pisau itu, sakitnya bukan kepalang. Habis semua kudrat dikerah. Sambil dicabut, sambil dia cuba berganjak dari situ.

Kakinya menggigil, badannya lebih lagi. Mungkin kerana menahan sakit dari bahu. Bisanya, sampai Azil meraung mengalahkan bunyi pertir. Pisau Perak Rajawali dicabut, terus di simpan dalam cembulnya dekat pinggang Azil. Darah yang mengalir tak dihirau. Tangan lebih cepat menutup rongga dekat cuping telinganya. Walaupun dia ada pendindingnya, tapi dengan keadaan badan yang sungguh lemah. Kemungkinan untuk terkena sumpah Si Kelembai tetap ada. Silap-silap jadi Tanggang daratan. Jadi batu sumpahan.

Petir sabung-menyabung. Hujan masih girang melompat-lompat atas nipah yang bocor melata. Bawah atap yang bocor itu, Si Kelembai mula menjerit, bahasa tak pernah kenal. Tak pernah tahu. Jelas, dari mulutnya yang berulat-ulat itu, seakan keluar pusaran angin, semacam ada gelombang, makin kuat suaranya, makin galak pula pusaran itu.

Saat itu Azil sudah lama lari. Jauh, sejauh mungkin telapaknya meredah. Sasarannya hanya satu. Sesuatu yang Kelembai takkan mampu lawan. Kelemahan perempuan berwajah hantu itu. Sekali-kali teringat tentang Mak Jah. Wajah Mak Jah saat pertama kali mereka berjumpa, juga buruk. Tapi tidaklah sehodoh Si kelembai.

Pusaran dari mulut Kelembai berputar keras. Sedaya-upaya, sepenuh tenaga Ros melawan. Kakinya berpasak kuat pada lantai yang urat retaknya makin mengular jauh. Dua lembaga yang diarahkan untuk menyerang Azil tadi, sudah mula menjadi batu. Lutut Ros direndahkan, otot kakinya mula menimbul.

Hadapannya, Si Kelembai makin menggila. Marah kerana Ros berjaya mengelak sumpahannya setakat ini. Geram. Jeritannya dikuatkan lagi. Sungguh kuat, sampaikan, semua daun pintu, tingkap terbuka. Sampaikan bergegar tiang seri rumah usang itu.

Badan Ros hampir terpusing dek hentakan kuat dari gelombang itu. Dia tahu, takkan lama dia mampu bertahan. Telapak kakinya, mula bergerak seinci-inci ke belakang. Tangannya, mula bergetar. Mungkin menggigil takut, mungkin kerna tak mampu lagi menekup telinga. Harus, mesti dia cari jalan keluar dari situasi sial ini. Takutkan, kalau-kalau tangannya tergerak, ataupun dia tercampak, habis jadi batu.

Mahu atau tidak, dipaksa kelopak matanya dibuka. Seakan ada besi atas matanya. Dipaksa juga. Saat matanya terbuka hampir luas, gelombang pusar seakan berkurang. Pelik. Tiba-tiba, kedengaran bunyi batu berkecai. Pantas matanya kesisi badan.

Salah satu lembaga suruhannya yang menjadi batu tadi hancur berkecai, dilibas dek belalai gajah. Belalai tadi terus ke arahnya. Kaget. Tapi sempat lagi dia menjeling ke arah Si Kelembai. Sial. Belalai itu dari mulutn Si Kelembai, sekarang, berada benar-benar dekat dengannya.

Hujan masih turun lebat.

Bercampur dengan darah di bahu Azil.

Juga bersama peluh di wajah Ros.

tiket :: dua

cerita ini adalah kesinambungan cerpen TIKET karya Valium (ungku laila hanna)


Tiket itu aku genggam kuat dalam jemari. Makin kuat, sama seperti lenggok kaki ini ke arahnya.

“Ke tengah kota mencari orang?” sengaja aku tunggu matanya berkebil tiga kali.
“lagi?” senyumanku menguntum, sementara anak matanya mengecil.

Nah, itu yang akan aku lakukan. Setapak lagi. Selepas bertahun aku tunggu. Sebentar. Silap, belum setahun lagi. Tapi hampir. Ya sudah 360 hari. benar-benar hampir dengan kejadian tiket. Setahun aku tunggu dia di sini.

Aku ingat lagi senyum manis dan lenggok suaranya 50 minggu yang lepas. Dekat sini. Juga bunyi derai air dekat sinki dalam tandas di sana. Saat-saat aku rasa dia akan menjadi milik aku. Tapi, angan tetap angan, kurang dua baris ayat bualan, dia hilang. kesannya, dia tsunami dan aku pantainya. Walau berjuta ombak menghempas, tapi tetap dia impak paling besar. Seakan tak mungkin, hampir mustahil dapat aku lupakannya.

Dia masih berdiri, hampir pegun, dekat sebelah poster Dunia Baru the Movie yang sudah berhabuk. Sekejap tadi, saat kaki ku masih puluhan meter jaraknya dengan kasut tiga incinya itu, dia bersandar lagi dekat tiang sebelah poster lusuh itu. Atas sebab aku kurang pasti, dia palingkan badan ke arah lain. Kemudian tangannya menggapai sesuatu dalam beg plastik jernih.

Walau sedikit terhalang, juga jarak yang menghadkan ruang penglihatan ku, aku tetap pasti yang dikeluarkannya itu Twisties. Lebih tepat perisa BBQ. Sama dengan sebelum ini. Pasti.

Setahun lepas, dia menguyah di sini dan aku masih sedang fikirkan cara untuk berkenalan dengannya. Sekarang, tak perlu lagi. Dah puas aku tunggu. Dah cukup penuh lingkup ruang sabarku. Nafsu ku, dah cukup lama terendam dalam rindu. Dia magis. Hanya perlu dua baris dialog. Aku dah jadi sebegini gila.

Dongeng kah, penipuan kah, hanya aku yang alami.

Lepas sahaja aku lihat kelibat terakhirnya 360 hari yang lepas, tak pantas aku ke tempat kerja. Malah hampir sahaja aku menaiki tren selepas itu untuk mengekorinya, ke tengah kota. Nasib baik, sempat aku ingat memang tiada nama stesen tengah kota pada laluan keretapi ini. Sudahnya, aku terlewat hampit tiga jam untuk ke pejabat.

Kurang tiga jam selanjutnya, aku sudah pulang ke rumah dengan barang-barang peribadi. Orang atasanku, terus sahaja beri notis berhenti kerja secara automatik. Sebelum tangannya yang sedang mencekak pinggang itu bergerak ke wajah ayuku, ataupun, sebelum misainya aku kutil-kutilkan, terus sahaja aku cabut kaki keluar pejabat.

Mana tidaknya dia buat keputusan sebegitu pantas, mesyurat penting yang fail utama berada di tanganku, dengan sengaja aku tidak sampaikan kepada sesiapa. Tambah lagi, aku kelewatan, pasti, tender dengan harga jutaan ringgit (yang dibeli dengan ratusan ribu ringgit suapan) itu, terbang begitu sahaja. Bagus juga negara ini, rasuah rasuah juga, disiplin tender tetap terjaga.

Orang atasanku pula, dengan misai terangkat-angkat, tak bertapis saat menghujani aku dengan liur masamnya. Baru sahaja kaki kanan aku masuk, semua jenis sumpah seranah sudah hinggap dahulu ke telinga kiri ku. Kepala aku mengura-ngura (menjadi seakan kura-kura), sambil dengan tangan bergetar seakan pesakit Parkinson ini sibuk menghulurkan fail itu ke meja di hadapannya. Belum lagi bergesel sampul kuning itu ke kayu meja itu, laju sahaja dia parkir kan fail itu ke tong sampah putih di sisinya.

Walaupun keadaan itu memang dalam jangkaanku, tetap badanku sengaja digigil-gigilkan, juga diselangi dengan jeritan kewanitaan dengan nada rendah. Beri impak kejutan kononnya. Orang atasan yang berkulit kurang cerah ini, bagai buta yang berdiri di hadapannya ini seorang wanita. Semua jenis kemaluan dituturkannya habis semua bentuk carutan jadi serapah. Akhir sekali, yang sempat aku dengar, aku diberhentikan kerja. Dalam jangkaan, malah impianku.

Selepas itu, sampailah sekarang, aku terus jadi penunggu di sini, setia.

Setia menjadi pungguk dalam bilik penjual tiket. Sengaja aku mohon kerja sebagai kakitangan di sini, tak sangka segalanya begitu lancar. Terus sahaja mampu duduk di hadapan cermin kaunter ini. Mengutip duit, menghulur tiket merah. Kadang warnanya berubah, kadang tiketnya berubah, tapi, hatiku tetap enggan mahu bertukar. Tetap, menunggu bidadari ku datang lagi, aku yakin.

Keyakinan aku, tak pernah tergugat. Macam mana gah kesetiaan rel-rel besi pada landasan. Serupa kayu-kayu pasak setia pada tempatnya. Tak pernah kenal mati, tak kenal musim dan waktu. Tak pernah tahu sakit dan perit. Tetap setia menunggu di sini. Hari demi hari, waktu demi waktu. Tak pernah aku lepaskan sesiapa yang seakannya. Pernah aku tiba-tiba berlari keluar pejabat, semata-mata mahu mengejar sesusuk yang berpakaian sepertinya. Banyak kali sudah aku teka orang yang salah.

Tapi kali ini, pasti. Pasti tak silap lagi. Habis. Habis semua kegilaan, tamat semua penantian.

Dia sendiri yang beli tiket sehala di kaunter yang aku uruskan. Bila dengar sahaja suaranya dekat telingaku, seluruh deriaku seakan diuja. Tanganku seakan beku pada tempatnya. Mahu aku cepat-cepat mengangkat kepala, tapi hidungku lebih pantas menangkap bau minyak wangi yang masuk dari celah semi-bulat dekat cermin ini.

Setelah sekian lama, perasaan itu datang lagi, puas untuk aku telan liur. Puas untuk aku seka peluh yang pantas saja merecik. Puas untuk aku kawal gelombang besar dalam dadaku, beri getar pada tanganku. Dia, tersenyum pulas, saat memerhatikan aku culas. Senyumnya lebih manis, bila sengaja aku sentuhkan kulit kami waktu menghulurkan tiket.

Dia, tak perasankah? Tak terasakah apa yang sedang aku alami? Dengan tenang, seperti waktu kami berpisah dahulu, dia berpaling dan pergi bersama tiket sehala.

Aku tak mampu biarkan dia pergi lagi. Terus aku letakkan papan kecil “Kaunter Ditutup, Harap Maaf.” di hadapan lubang semi bulat. Dengan pandangan separa terkejut, separa meluat dari rakan sekerja ku, juga pandangan penuh bengang dari pembeli tiket selepasnya, aku melangkah laju keluar.

Rambut pendek seakan lelaki yang aku miliki, disisip kemas dengan tangan yang masih perempuanku. Gula getah yang dikunyah sejak lima minit yang lalu, aku ludahkan ke tong sampah berhampiran. Aku kerling ke papan tanda elektronik dekat tempat menunggu. keretapi seterusnya, bakal tiba selepas tiga minit.

Hari ini cuaca cerah. Sama dengan perasaanku bila lihat wajah bidadari tadi. Tak mungkin keretapi akan lewat sampai seperti sebelum ini. Tak mungkin aku punyai masa lebih untuk tergagap. Luahkan hari ini. Lepaskan yang sepatutnya.

Dia masih dihadapanku. Kakiku masih melangkah kearahnya. Poster Dunia Baru The Movie jadi saksi.

Jemariku merekah, lenganku diangkat, aku hulurkan tangan ke bahunya. Poster Dunia Baru The Movie masih jadi saksi.

Nafasku dihela panjang. kemudian aku tarik kembali, mengumpul udara dalam peparu, sedikit beri darahku bergerak lancar. Beri gugupku kurang. Tarus, aku letakkan jemari ke bahunya.

Dia bergerak.

Tanganku jatuh secara automatik ke pehaku, aku genggam angin, yang masih berbaki bau minyak wanginya.

Dia bergerak, laju sahaja kakinya kehadapan. Seakan mengejar sesuatu, Twisties dalam genggamannya bertaburan.

Mataku terkebil.

Aku lihat seseorang berdiri tegap beberapa meter dariku, dan bidadariku, tanpa ragu, terus mendakapnya.

Mataku terjegil.

Poster Dunia Baru The Movie meliuk ditiup angin.

****

Cukup mengertikah dia tentang perasaan ini sewaktu dia dengan wajah selamba sahaja mendakap lelaki itu? Tetntunya tidak.

Berhari-hari aku menunggu, berpagi petang. Dia kembali, kali ini. Tapi hanya aku yang menjadi penunggu setia. Mungkin puteri kayangan itu bukan hak ku. Kali ini, aku benar-benar berputus asa terus pada kewujudan yang dinamakan hawa. Biarlah aku berselingkuh pada sifat asalku. Biar kan aku jadi normal semula.

****

Tak lekas aku berpaling pergi. Langkahan aku yang sedia ke hadapan itu, aku teruskan sahaja. Bahunya aku capai, tapi, bukan dengan nafsu yang tadi.

Matanya yang bersinar itu pantas ke wajahku. Jantungku masih ada getar pada pandangan secantik itu. Tapi aku tegakkan ego. Dengan senyuman kecil, aku arahkan jari telunjuk ke arah Twisties yang bertaburan. Wajahnya lekas sahaja berubah kasihan. Masih kekal manis.

Saat dia melafazkan maaf. Lelaki yang didakapnya tadi, pantas mengutip Twisties yang bersepahan. Aku senyum kecil. Tak sanggup rasanya lebih lama di sini.

“Baik-baik ke tengah kota.” Kakiku mengarah ke pejabat.

Kali ini dia yang terkebil-kebil. “awak…”

Pastinya, dia baru sahaja sedar siapa aku. Pastinya, aku harus sedar siapa aku. Aku perempuan, seharusnya menjadi perempuan.

Langkahanku agak gugup ke pejabat. Ada getar pada jantung saat menolak daun pintu itu.

“Gagal lagi?” Teman sekerja yang sibuk memberi tiket sempat mengerling ke arahku.

Aku senyum, kepalaku dianguk-angguk perlahan.

“Mungkin ada orang menanti kau, macammana kau menanti bidadari palsu kau itu.” Suara lelaki yang tua dua tahun dari aku itu, bergema dalam liang telinga ku. Aku tarik kerusi, lalu melabuhkan punggung perempuanku yang kecil. Mataku, tak lepas dari bibir di sebelahku itu.

“Maksud kau.” Papan tanda “Kaunter Ditutup, Harap Maaf.” Aku alihkan. Tapi, belum sempat aku letak ke sisi. Dia lebih cepat menggapai tangan aku.

“Mungkin kau tak perlu tunggu lagi.” Tangannya yang sedikit kasar itu, bergerak atas kulit tanganku.

Hatiku tersentak. Mati kami bergerak serentak. Bertaut.

carldena

CARLDENA
Mohd Safwan bin Fital

aku ulis nih time f4 kot. nih pon seb baik akak aku jmpa dalam comp.. thanks angah.. woHhOo ok...enjoy ah cerpen yg aku paling suke ni..
carldena=nick name akak angkat aku time skolah dulu..akak..pinjam nama ek.. haha



PROLOG
“Dia diciptakan dengan raut wajah yang gamat susah untuk ditandingi. Tuhan hidupkan ia dengan penuh kelebihan tanpa kerisauan, tanpa kesusahan. Hidupnya cukup terang untuk menghadapi malam-malam yang bakal diharungi. Dia langsung tidak pernah memikirkan hari depan yang sangat kelam dimana menenggelamkan dirinya dalam kekalutan. Tanpa asas yang kukuh dia belum tegar untuk menghadapi gigitan semut sekalipun. Jika badai sengsara melanda dirimu, Carldena, aku yakin kau akan hancur luluh di atas bumi ini. Maka, hadapilah bara-bara kehidupan itu…”

PERMULAAN
“Langkahan Carldena suram, sesuram pantai tanpa ombak. Acap kali kakinya terangkat, seakan terhiris perutnya. Pantas tangannya mencengkam di perutnya. Carldena mengeluarkan sesuatu dari poket kecilnya lantas digumam dalam mulut. Menyesal. Semuanya tidak akan berada di dimensi ini. Terlalu menyeksa. Kalau mampu diputar kembali roda masa, ingin saja Carldena menukar nama bapanya. Mengukir nama lain di atas helaian sijil kelahirannya. Carldena Amira binti Tan Sri Farizul Akmar. Tan Sri yang membawa malang. Egonya mengalahkan ketinggian Menara Kuala Lumpur. Sehinggakan ketika arwah ibunya (nenek Carldena) dijemput Izrail, dia bagai menjenguk di balik tingkap. Bagai Si Tenggang yang lebih munafiq, pulang ke kampung pun seperti menarik paus ke darat. Masakan kakinya seronok bersila, memegang Yaasin tatkala hari belasungkawa itu. Batunya Si Tenggang kerana memperihalkan ibunya seperti batu, dicampak sesuka hati. Untuk Tan Sri yang memperihalkan jenazah ibunya bagai sampah di tepian longkang, matinya Tan Sri bagai tikus yang di lenyek-lenyek. Jijik. Sedangkan malam itu, Tan Sri amat gembira, berderai tawanya di dalam kelab malam. Tangan kanannya merangkul GRO, tangan kirinya menyangkut sebotol wain putih, dilambung-lambung tinggi. Akhirnya dia yang melambung keluar dari Peugeot 307 SW. Dalam perjalanan pulang, kereta mewahnya hilang arah, sebelum tersasar keluar dari jalan utama. Mabuk.

Carldena memicit perutnya dengan lebih kuat, amat menyakitkan. Fikirannya buntu untuk mengimbas semula, mungkin kerana terlalu sakit, ataupun jiwanya meronta. Tidak sanggup membayangkan posisi ayahnya, kakinya tersepit di dalam kereta manakala sebahagian badannya terkulai mabuk di bonet hadapan. Darah berlumuran dari rambut, mengalir ke hujung kaki. Keadaan yang begitu genting menyukarkan kerja menyelamat, tambahan pula minoriti kereta tersebut telah menjunam ke dalam loji kumbahan dan perlu diangkat menggunakan kren. Nadi Tan Sri masih terus berlagu. Dengan pantas segala kompenen kereta dicabut untuk memudahkan Tan Sri keluar. Namun kakinya tercatuk di situ. Melekat bagai ditarik magnet. Bingung merasuk ke segenap kepala yang memerhati. Puas ditarik, diusahakan agar Tan Sri keluar dari kereta. Tapi, Tan Sri langsung tidak bergerak. Terdiam, perlahan air matanya menitis melihat Izrail di hadapannya. Panas, haus semuanya bergolak sebelum Tan Sri menjerit tika kereta tersebut meletup.

Tersentak, Carldena bagai terdengar bunyi letupan itu. Dia sendirian merasai kepanasan yang tidak terhingga. Pantas manik-manik peluh di wajahnya diseka. Kesedihan terukir di situ. Wajah yang dahulu comel, rambutnya mengurai lembut turun ke mata yang perang, terus ke hidung yang mancung bak seludang, berakhir di bibirnya yang nipis, sudah hilang serinya.

Tangannya masih mengusap muka, di bawah mata yang berair, di tepi hidung yang kemerah-merahan. Semuanya telah hilang, yang putih jadi hitam yang ceria, kelam terbang ditarik sejarah.
‘Tap!’ Carldena tersentak, bahu lembutnya disentuh orang. Lantas dia berpaling, seorang lelaki berdiri di belakangnya. Dia kenal wajah itu. Dia juga benci wajah itu. Benci, sama bencinya dengan wajah wajah Pak Tam, Pak Long, Mak Ngah, Busu Lea, Auntie Sarah, Uncle Am, semua bersilih ganti. Dia jadi tak keruan. Dalam jiwanya bagai dilanda badai yang tidak berhenti. Perlukah ia menyahut tangan itu, atau membuka langkah seribu? Sedar-sedar dia sudah berada jauh dari situ, meninggalkan manusia itu termanggu.
Dasar hatinya mencebir, mencemuh wajah-wajah itu. Tangan mereka menyeluk saku, tuli mata mereka, berhijab hati semua saat permata berderai di alur pipi gebu Carldena. Saat Carldena tergantung tidak bertali mereka menghulurkan tali gantung ke leher putihnya. Malah dia dicemuh, dihina, diherdik, dihalau umpama anjing kurap. Kesalahan-kesalahan Tan Sri yang menggunung disandarkan ke atas pundaknya. Api-api dosa miliki darah dagingnya itu, mengalir dalam tunjang darahnya bagai asid yang menghakis. Tiada satu pertolongan pun saat Carldena dilambung kesepian, sehingga dia terdampar di persisiran ini.
Air matanya bersungai lagi. Permukaan matanya terpampang wajah ibunya. Belaiannya terasa bermain-main di rambutnya. Tenang sebentar keresahannya, hilang rasa gementarnya. Hatinya begitu tenang pabila tangan ibunya berada berada di ubun-ubunnya. Tiba-tiba tangan tersebut mencengkam kepalanya, menghentakkannya ke dinding, menampar pipinya, menarik rambutnya. Carldena tersentak. Betapa peritnya hidup perempuan itu disamping seorang ibu bangsa Austria. Namun dia tahu, lebih perit ibunya yang mati dalam kufur tatkala putus asa dengan hidup. Di hadapan mata Carldena sendiri, ibunya bermandi darah yang membuak-buak keluar daripada pergelangan lengan.

Carldena mengurut dada, merayap ke lehernya, kering segersang sahara. Perutnya terus dan terus berlagu. Namun, kedai mana mahu dipinta, pintu mana ingin di ketuk? Pernah digagahkan jua mengemis di tepian hati. Tapi hasilnya, kasih terbang sayang melayang.
Carldena tunduk, menghela nafas sepanjang-panjang yang mampu. Dipaksa kakinya untuk berdiri. Tangannya menekan ke tanah. Belumpun lututnya menegak, kepalanya bagai ditusuk jarum, perutnya mencengkam, tekaknya berpasir, dadanya sesak, akhirnya dia terduduk sendiri, tersandar di dinding yang dilawati lumut. Mengeluh. Sakit ini bukan hakku, perit ini bukan impianku. Tapi siapa tahu?

Tangannya merayap kembali, tetapi terhenti di pangkal leher. Seutas rantai dalam genggamannya, bersulam emas, bertatah berlian. Hadiah sempena hari lahirnya yang ke-16, merangkap parti terakhir dalam hidupnya. Telinganya masih boleh terdengar betapa gemuruhnya tepukan tika tersemat rantai tersebut di lehernya. Ramai yang memuji, Carldena umpama bidadari syurgawi, sekilas pandang terpaut hati. Jelasnya, ramai juga yang terpaksa mengibarkan bendera putih tatkala menyedari bahawa sendiri tidak akan mampu membelai Carldena, putri Akmar Villa yang lahir dalam kepuk emas, ditatang bagai minyak. Carldena tak pernah kecewa dengan hidup. Masakan mungkin pabila segala yang terlintas di hati akan dipenuhi. Kebebasannya tidak terbatas, keseronokannya bagai di firdausi, tapi pengakhirannya sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Carldena…
Mulut kecilnya menguap, matanya ditenyeh beberapa kali. Mengantuk. Carldena cuba menganggar waktu. Mungkin jam lapan malam, mungkin jam 12 malam, atau mungkin sudah melewati jam dua pagi. Buntu. Selama ini, masa bukan ukuran hidupnya. Lapar ke dapur, bosan ke halaman, mengantuk tidur. Semuanya tersedia, kalau terasa kurang, dipinta. Tetapi itu dahulu, antonim kepada saat ini. Masa ibarat pedang, setiap detik yang terlepas, menghirisnya, setiap detik yang sedang dilalui, mengerat-ngeratnya, datik-detik yang mendatang akan memenggalnya.
Dia, hanya mampu menunggu hari esok, menanti matahari riang di atas dan dia mengeliat dengan segunung harapan. Namun, masihkah ada hari esok untuknya? Carldena mengurut-ngurut kakinya. Lenguh. Jemarinya menekan di kawasan keting, melurut turun ke buku lali, kemudian ditolaknya segala keperitan itu ke ibu jari yang kehitaman. Nafasnya dihela panjang. Mencari kelegaan walaupun secebis cuma. Dibersihkan kaki itu, bertaburan pepasir, beterbangan debu-debu yang melekat di kulit licinnya. Pandangannya tertancap pada tapak kaki, kulit sekitar buku lali retak seribu, ditambah pula dengan warna hitam yang melekat padu. Menyesal.
Carldena menolak rambutnya yang jatuh berjuraian di dahi ke belakang telinga. Beberapa helai jatuh kembali ke hadapan. Mengeluh. Lima tahun lagi untuk dia lari daripada masalahnya. Lima tahun lagi, semua harta peninggalan arwah akan menjadi hak milik mutlak Carldena Amira. Tetapi, Carldena sendiri masih was-was tentang hidupnya pada hari esok. Masakan dia mampu bertahan selama lima tahun lagi. Setahun yang dilalui ini pun sungguh memeritkan batinnya. Carldena merenung ke tanah, hujung jarinya melukis sesuatu, sesuatu yang cuba menutup rasa kesal di dadanya. Satu langkah yang tersilap terus mengubah susur-galur hidupnya.
Dia menghitung sendirian, dengan harapan yang menggunung, dia lari dari rumah anak yatim ke kampung. Namun, impaknya, yang dikendong berciciran, yang dikejar tak kesampaian. Bagai musang yang ingin membaham ayam, dia bukan sahaja tidak diendahkan, malah ‘dinasihati’ keluar dari komuniti tersebut. Hiba. Salah akukah membuka langkah seribu? Jika berada di rumah anak yatim bagaikan Cinderella. Terseksa hidupku dengan caci maki yang tersirat dalam kata yang tersurat. Salah akukah, membuka langkah seribu lari daripada sengsara? Carldena bermonolog sendirian, bertanya kepada angin dan jawapannya, kesepian.
Kesepian yang mengajarnya erti keperitan. Kesepian yang benar-benar tak dapat ditampung oleh hatinya. Kesepian yang tak bertepi. Kesepian yang mencengkam entah sampai bila. Mungkin sejam, sehari, sebulan, atau lima tahun lagi, sehingga dia menerima kembali haknya. Hak yang dicuri oleh seorang pembelot. Culas. Benar-benar culas saat nama pembelot itu menorobos mindanya. Kebenciannya memuncak terhadap pembuka segala cerita, pencetus masalah dan penutup kebahagiaannya. Harapkan pagar, pagar makan padi. Kehilangannya bersama-sama dengan segala harta Tan Sri Farizul Akmar, menjadi misteri. Meninggalkan tanggungjawabnya ditelan halaman neraka.

Carldena mengetap bibir. Terkilan sendirian tatkala di matanya seakan tergambar, satu-persatu harta peninggalan Tan Sri dijual, sedikit demi sedikit aset Tan Sri terhakis. Atas alasan mengambil upah penjagaan Carldena, segalanya seperti air. Lancar.
Mengeluh keras. Sekeras guruh mengintai hujan, melepaskan petir yang menyentak jiwa Carldena. Dia jadi tidak keruan. Namun, pada siapa harus dimuntahkan segala-galanya. Kesepian yang mengisi jiwanya berlumuran keluar dari celahan mata. Malam yang menagih simpati mentari, terdiam seketika. Tergumam dengan esakan Carldena yang terngadah di tengah kepiluan, merintih malang yang menjadi satu rentetan yang tak ingin pulang. Dia mula mengintai kembali lunas-lunas yang hilang, mencubit rasa senang, walau sesaat. Tetapi, di situ dia kehilangan definisi kejujuran. Jujur yang membahagiakan dalam setiap titisan air mata, akhirnya jatuh berderai ke bumi tuhan. Hatinya benar-benar berkecamuk. Carldena berkira-kira sendirian tentang hari-hari yang menjadi duri dalam dagingnya. Aku tak sanggup lagi. Dalam kekalutan berfikir, ingatannya megimbau mayat arwah ibunya. Mungkin, ini yang dirasakan ibunya. Mungkin, itu juga jalan yang ada untuk keluar. Mungkin, itu juga yang perlu aku turuti . Akhirnya dia mengungkap rasa manisnya maut, membuka alis kekayangan, mengerakkan tangan mencapai kaca yang terngadah, tergugah, semakin hampir dan hampir dengan urat nadinya.”


PENCERITA
Bakar meneguk liur. Lambat, namun sekurang-kurangnya dapat meredakan peluh yang berantai di dahinya. Satu keluhan menghentikan sebuah cerita yang gamat panjang.
“Carldena, selamatkah dia?”
Bakar mengangguk perlahan, “Kau percayakan keajaiban?”
Tercengang, “Keajaiban, yang bagaimana? Kalau dari sudut yang agak logik, percayalah juga.”
Bakar tersenyum sejurus selepas aku menutup bibir. Senyuman itu seraya merebak menjadi suatu gelak sinis, persis orang gila. “Malam itu, tangannya terkulai layu, darah pekat deras mengalir ke pehanya. Nafasnya pendek, agak keras bunyinya. Carldena terkapar genting, kelemasan dalam lautan eritrosit sendiri. Cebisan masa itu, muncul seorang lelaki mencapai tangannya, mendukung tubuh kecilnya, lalu di bawa entah ke mana. Carldena bingung. Malaikatkah yang sanggup datang menujah masa untuk menarik kembali rohku yang hampir hilang? Dalam kekalutan itu akhirnya dia kegelapan.

Pintu cermin setinggi tiga meter itu terkuak luas diiringi dengan derapan kaki seorang lelaki. Di tangannya, terkulai seorang perempuan dengan titisan darah yang makin perlahan. Kurang daripada lima minit, Carldena sudah berada di dalam bilik kecemasan.
Lelaki itu, bukanlah orang asing bagi Carldena, bukan juga orang yang rapat dengannya. Malahan jika Carldena bertembung dengannya, perempuan mungil ini akan berpaling pantas. Benci. Benci atas senua kehancuran yang dilakukannya, benci atas kehilangan harta Tan Sri. Dalam kebencian itu, tiba- tiba sahaja dia kembali memberikan nafas baru kepada Carldena. Namun mengapa dimensinya sekarang? Mengapa baru kini hendak ditutup aibnya? Setelah Carldena kehilangan segala-galanya, setelah Carldena hampa dengan hidupnya sendiri. Mengapa baru sekarang?

Lelaki itu tegar berdiri tegak dihadapan kerusi, disaluti baju yang lencun dengan darah. Sesal. Terlalu lewat ketibaannya untuk mengelakkan kecelakaan ini. Salah sendiri, balasan sampai mati. Dia gamat resah, sehinggakan peluh mendominasi badannya.”

Bakar diam sekali lagi. Mulutnya menghirup perlahan kopi yang rasa-rasanya sudah lama sejuk. Di luar restoran terdengar sayup-sayup hujan yang semakin lebat, mengisi kekosongan perbualan kami. Masing-masing menanti, masing-masing menyepi. Hampir seminit kami terkandas sebelum aku membuka persoalan semula. “Siapa sebenarnya lelaki itu? Apa kaitannya dengan Carldena?”
Bakar merenung aku, agak tajam pandanganya, sedikit sinis senyumannya. “Satu-satunya penjaga harta Tan Sri yang bakal diperolehi oleh Carldena.”
Wajahku serta-merta berubah searus dengan persoalan yang terbias diminda.
“Ringgit Malaysia 150 juta aset Tan Sri yang berdaftar berada bawah jagaannya. Belum lagi ditokok dengan syer-syer saham yang kekal menjadi kepunyaan Carldena. Kalau diumpamakan, seperti pepasir di pantai. Namun pepasir yang bersinar itu sekelip mata ditelan ombak.

Sebelum ibu Carldena pulang ke taman neraka, satu wasiat telah ditulis. Ringgit Malaysia setengah juta dikhaskan untuk setiausaha peribadi keluarganya (lelaki yang menyelamatkan Carldena). Juga harta yang lebihnya, yang jutaan lagi, akan menjadi harta peninggalan, dan serta merta mengikut faraid, jatuh ke telapak kecil anak tunggalnya, Carldena. Namun sebelum Carldena mencecah kematangan minda perempuannya, dia, bersama-sama hartanya akan berada di bawah telunjuk lelaki itu. Surat penentu hidup itu ditandatangani tepat sejam sebelum Carldena ditemui di sisi mayat ibunya.

Tahun itu ibarat tahun dukacita untuk Carldena, kematian ketiga-tiga ibu, bapa dan neneknya dalam jangka masa 12 bulan. Perubahan pada sikap Carldena memberi impak yang gila kepada lelaki itu. Carldena hanya duduk dan termenung, otaknya kosong. Melainkan lelaki itu, tiada lagi tempat untuk Carldena bersandar. Semua saudara-maranya, awal-awal lagi tidak mengakui Carldena sebagai keturunan mereka. Untuk menyelamatkan dirinya daripada terus dihantui kemurungan perempuan sugul ini, lelaki itu membuka langkah ke rumah anak yatim. Datangnya dengan tipu helah dan alasan, pulangnya keseorangan berpaling meninggalkan beban yang menjengkelkan hatinya.

Saat dia keseorangan diulit harta milik Carldena, perempuan itu gugup dengan definisi hidup yang baru. Keresahan Carldena sesaat pun tidak dihiraukan. Kepentingannya dalam hidup ini hanya untuk menggapai bintang. Satu demi satu harta Carldena lebur ditabur di atas meja judi. Kalah ditambah, menang sakan berjoli. Saat itu kepuk Carldena tak pernah surut kerana saham atas nama Carldena masih gah di syarikat. Setiap saat, wang yang ada akan bercambah, namun, belum pun pucuknya matang, lelaki itu akan mencantasnya dulu. Sehinggalah saat syarikat itu lingkup. Lelaki itu kekalutan, hutang-piutangnya pula semakin membukit, poketnya kering. Jalan pintas, dia menjual hampir semua aset Carldena untuk menyelamatkan dirinya daripada dikejar pemiutang.

Lelaki itu celik mimpinya dalam ketakutan klimaks. Di situ dia menoleh, lalu gugup, gigil sendirian. Tiada lagi kemewahan yang mengulitinya dahulu. Habis manis, sepah pun jadilah. Hanya itu sahaja yang tinggal untuk Carldena. Carldena? Carldena!

Lelaki itu, tiba di rumah persinggahan Carldena dengan penuh keinsafan, berharap agar segala dosa tercuci. Namun di situ perjalanannya bermula. Dia belum melangkah masuk tetapi sudah disambut dengan berita ralat. Carldena hilang seraya menggemparkan seluruh penghuni. Jiwa lelaki itu tergugah.

Dia memerah otak mencari haluan Carldena. Hanya satu tempat yang mungkin. Pantas dia sonsong egonya pulang ke kampong Tan Sri. Sekali lagi dia dipermainkan dengan masa. Dikisahkan Carldena telah berlalu, tak siapa endah tujuannya. Lelaki itu dengan semangat yang bergantang, terus mencari galur yang Carldena jejaki. Buntu.

Sehinggalah pada suatu malam. Saat dia pulang dari sebuah gerai, matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang duduk diam di suatu lorong kelam. Persis pengemis jalanan. Agak lama dia mencari keyakinan sebelum menyentuh bahu Carldena. Perempuan itu menoleh dan sepantas kilat dia hilang lintang-pukang. Lelaki itu sedikit kecewa. Sekurang-kurangnya semangatnya untuk mencari Carldena becambah kembali. Peluang kali kedua tidak mungkin terlepas lagi. Langkahannya gamat laju namun agak lambat tatkala bejumpa kembali dengan Carldena. Darah membasahi perempuan mungil ini.”

EPILOG
Bakar berhenti berbicara, menarik nafas panjang. Sementara aku menutup buku nota yang mengutip setiap bait daripada mulut Bakar. Cerita itu akhirnya tamat jua, namun aku masih dihujani persoalan. “Carldena, selepas kejadian itu…”
“Terlantar,” Bakar seakan-akan dapat membaca fikiranku.
“Maksudnya, Carldena..”
“Nabilla,” Bakar sekali lagi menjadikan aku cemas. “Nabilla nama barunya. Dia terlantar agak lama sebelum berjaya memeluki segala yang patut dikecapinya. Ah! Melainkan jika kamu ingin menulis sejilid lagi buku, aku sanggup menceritakannya. Namun sekarang aku keletihan. Izinkan aku berlalu. Selamat bejumpa lagi.”
Aku mengangguk faham. Kemudian kami membuka haluan masing-masing selepas berjabat tangan. Saat aku berdiri menunggu teksi, sambil menunggu hujan yang lebat ini teduh, terlintas di fikiran aku. Bagaimana bakar mengetahui setiap inti hidup Carldena atau… Nabilla? Siapa Bakar sebenarnya? Entah mengapa, aku tidak terfikir untuk bertanya. Menoleh, bayangan Bakar sudah tiada dalam kedai kopi tadi. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya sudah aku ada isi untuk ditulis pada majalah keluaran minggu hadapan. Sebuah teksi berhenti di hadapanku. Pabila teksi itu mula bergerak, di seberang jalan, aku lihat seorang lelaki meredah hujan ke arah seorang perempuan yang memegang payung. Baju lelaki itu, macam baju yang dipakai Bakar tadi. Mungkinkah…

[belum ada nama] part two

Tiga mangkuk tembaga tersusun dalam formasi segi tiga. Tiap satunya terisi penuh. Bau kemenyan hutan menyelimuti segenap bahagian dalam ruang yang serba malap itu. Ditengah-tengah segi tiga itu, menyala sebatang lilin kuning, disebelah tapak kemenyan.

“Kau betul-betul mahu lakukan ini?” Mak Jah bersimpuh, mulutnya terkumat kamit mengunyah sireh. Jarinya menuding ke hadapan, lantas menyala sebatang lagi lilin kuning. Azil tersentap, cahaya dari lilin membuatkan matanya sedikit berpinar. Mukanya diangkat ke arah Mak Jah.

“Tiga dari tujuh janji dah kau penuhi.” Mak Jah meludahkan sirehnya ke daun kering di sisinya. “Kalau kau rasa keberatan. Boleh lagi berpaling sekarang.

Azil mengesat peluh pada dahinya. Mukanya berkerut seribu.

“Tapi ingat,” Mak Jah pandang tepat pada anak mata Azil. “ Yang dah terkorban, tak bisa dipulangkan. Ini janji dua alam.”

Azil mengusap mukanya, “ Susah mana pun, aku tak peduli. Aku dah bawakan kau tiga benda yang kau mahu. Kita selesaikan apa yang sudah termula.” Suaranya sedikit menggeletar. Dalam fikirannya, terbayang wajah Kencana anak kacukan jawa dan melaka, susuk badannya, dadanya, pinggulnya, dan yang paling tak akan dia lupakan, jari jemari perempuan itu. Bagai terasa lagi pelempang dari jari jemari itu. Sudahlah dilempang dekat tengah-tengah pekan. Malu. Geram. Sebab geram, berseru dendam, dia nekad, merentas tujuh bukit. Sebelum ini, dia ambil enteng tentang Mak Jah. Malah Mak Jah hanyalah dongengan untuk menakutkan anak kecil dari masuk ke hutan. Kali ini, dikuatkan untuk mencari. Diikhtiarkan bertanya kepada orang-orang yang kononnya pernah terserempak dengan Mak Jah ketika berburu. Dari situlah dia mula mencari perempuan tua ini.

“Jikalau itu yang kau katakan. Aku anggap kita sudah jumpa tali pengikatnya. Dengar betul-betul empat lagi janji dari tujuh, yang harus kau penuhi.”

Azil mengangguk perlahan.

“Satu, jangan tinggalkan bekas air sumpahan ini kosong, ia tidak akan betambah sendiri. Tambahi dengan darah kamu pada malam bulan penuh sahaja. Dua, jangan biarkan wanita yang kamu tiduri bertanda tubuhnya. Dia tidak akan mengingati apa yang telah kamu lakukan selagi badannya bersih dari apa-apa tanda. Tiga, jangan bunuh mangsa kamu.”

[ Bunuh?] Azil mengomel kecil dalam hatinya. Serta merta Mak Jah memandang tepat matanya. Meremang tengkuk. Lilin dihadapannya juga menjadi semakin cerah, menerangi seluruh wajahnya.

“Kalau terpaksa dibunuh, pastikan darah dan nafas bercampur. Pastikan dengan pisau perak Rajawali. Tentu-tentu dia akan mati, dan kalau nasib kamu turut melintang, kamu juga akan terbunuh.” Mak Jah mengukir seuatu dengan gumpalan asap kemenyan dihadapannya. “Ini bentuk pisau perak Rajawali, hujung sungai tempat Hang Tuah kuburkan Tamingsari, ada lubuk berpusar dua. Pisau terpacak di tengah-tengah pusaran. Jangan pernah cabut Tamingsari, atau nyawa kamu yang tercabut.” Mak Jah meniup asap yang berbentuk pisau sebentar tadi. “Faham?”

Azil terbatuk-batuk kecil dek asap kemenyan menerjah hidungnya. “Faham.”

Mak Jah tersenyum. Tangannya menarik dekat tapak kemenyan. Kakinya bersila dengan kemas. Bibirnya mula membaca sesuatu. Kemudian, dengan kedua-dua tapak tangannya, dia menutup bara kemnyan tadi, namun api makin menyala, malah tangan Mak Jah sendiri yang mengeluarkan nyalaan api. Azil terpaku. Tiga piring tembaga tadi bergerak dengan sendiri ke arah Mak Jah. Sampai sahaja piring-piring tadi ke tengah, terus terpadam semua lilin yang bernyala, juga api kemenyan. Gelap gelita. Azil mengesat-ngesat matanya. Senyap. Mak Jah ghaib.

Dari pawang kampung sebelah, dia belajar cara-cara menyeru Mak Jah. Tujuh hari bertapa dalam gua yang jauhnya tujuh bukit dari rumahnya. Berpantang makan minum. Malah, tiga hari terakhir dia berpuasa. Dalam keadaan hampir-hampir dia pengsan, juga mula terasa ingin berputus asa, seseorang mencuit bahunya, bila dia berpaling, berdiri Mak Jah dengan muka yang retak seribu. Hampir-hampir dia pengsan. Dipendekkan, apabila dia nyatakan hajatnya, Mak Jah lebih dahulu meminta tiga syarat awal.

[belum ada nama] part one

Hujung pisau perak betul-betul terhala atas tengkuknya. Dalam keadaan tangannya terpulas ke belakang badan, dia langsung tak terdaya melakukan apa-apa. Kaku, namun tetap bergagah untuk melawan.

“Kau tak kan mampu bunuh aku, Ros. Ko nak cucuk pisau pun lembab” peluh makin lebat. Lencun belakang bajunya. Sedondon dengan hujan yang makin lebat dan lebat. Habis sahaja perkataannya, pisau itu menusuk satu inci ke dalam kulitnya. Terpancut darah pekat. Laju mengalir bersama peluh-peluh yang sedia basah.

“Macam tu je? Dalam tu je? Takat nak main-main buat pe. Bunuh je ah aku Ros! Bunuh!”

Hujung pisau bergerak lagi. Ke kiri, bunyi hirisan mengatasi rintik-rintik hujan yang berlagu pada atap zink. Dengan pisau yang tumpul, gerakan yang perlahan, Azil hanya mampu mengetap bibir. Ngilu. Terasa macam hendak terkeluar biji mata. Empat inci pisau perak itu memotong kulit jantannya. Empat inci darah mencurah-curah. Azil mencungap.

“Takat tu. Macam sakit potong ko..erk..” Tersentap. Belum sempat dihabiskan perkataan terakhir, pisau tadi sudah tertanam dalam bahunya. “Sial ko!” belakang badannya ditajak. Betul-betul kuat sampaikan badan yang sebesar itu terpelanting lima meter sebelum tergolek atas lantai kayu jati. Azil tergolek ke tepi dinding. Atas dinding yang sama, mayat ayahnya tanpa tangan, tertancap di situ. Kepalanya terkulai, leher terpenggal separuh.


“Cabut pisau tu.” Suara garau perempuan memecah bunyi-bunyi hujan. “Dah bosan dengan darah keturunan kau. Tanggalkan pisau tu, lawan dengan aku.” Ros melangkah ke arah badan Azil. “Aku kata cabut, jantan!” Langkah Ros terhenti di hujung kaki Azil. Geram. Dipijaknya ibu jari lelaki itu.

“Babi! Kau nak ape lagi? Kau tak puas lagi ke?” Azil menahan pedih. “Bunuh je ah aku!” Terbersin. Darah kecil mengalir di tepi bibirnya.

Jari jemari Ros mengesat bibirnya. “Cantik bibir kau kan Azil.” . Ros mencangkung, tapak kakinya memijak kedua-dua lutut Azil. Muka lelaki itu makin tegang. Ros merapatkan wajahnya ke muka Azil. Sampaikan terasa nafas Azil tercungap-cungap. Mata mereka terikat, Azil kaku, nafasnya seakan-akan hilang. Bibir Ros makin rapat ke bibir Azil. Kelopak matanya kuyu. Tangan azil mendekati pipi Ros. Dia seakan-akan merelakan. Makin rapat, rapat, dan “Aaargh!” timbul urat-urat pada muka Azil.

Dia tunduk, lutut Ros, menekan kemaluannya. Azil menolak badan perempuan itu. Petir sabung-menyabung. Namun masih kalah dengan jeritan Azil.

Ros tergelak besar. Lututnya makin menekan kebawah. “ Bodoh, nak mampos pun, ada nafsu lagi nak aku? Memang bodoh.bodoh nak mampos!” tersenyum sinis. “Amek nih,” air liur Ros singgah tepat atas muka Azil. “Cabut pisau tu. Pisau perak Rajawali konon. Jangan berangan nak pakai kalau hati tak kering.”

Azil diam. Yang terdengar hanya nafasnya yang makin mencungap. Ros mengangkat lututnya. Berpaling kegeraman. Dia membaca sesuatu dan menghembus ke sekeliling ruang tamu itu. Serta merta semua pelita ternyala api. Mencerahkan suasana yang kelam tadi. Matanya menjeling Azil. [ Degil betul jantan ni.] Ros meletakkan tangannya di dada kanan Azil. Terasa tolakan jantung Azil, kencang. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.
Aku pinta turun dari langit tujuh meruntuh,
Pinta ke tanah bawa tujuh petala dari tujuh hala,
Dari hulu ke hilir, dari pangkal ke hujung, dari mula ke akhir,
Pinta di bawa kunci dari ribu-ribu kunci,
Pinta di bawa jarum dari tujuh tujuh jenis darah,
Meruntuh ke tujuh tanah bumi,
Kuncikan pintu hati ini, dengan kunci dari ribu-ribu kunci
Ros menggenggam jari jemarinya, mulutnya masih terkumat kamit menghabiskan ayat-ayat yang entah apa maksudnya. Saat itu mata Azil terjegil, jauh dalam badannya, bagai ada jari jemari yang bermain dengan jantungnya. Pedih.

“Kau yang cari aku kan, kau ingat kau mampu buat aku macam perempuan lain?” tangan Ros tergenggam penuh. Pinta di pinjam jarum dari tujuh arah, aku gantikan dengan nafas sang perawan. Darah tersembur keluar dari mulut Azil. Azil mencungap, nafasnya tersekat, dadanya sesak. Ros tergelak kecil. Di belakangnya, ada tujuh bayangan lelaki. Azil terdesak, saat ini, hanya satu perkara sahaja yang mampu dia lakukan. Sedaya upaya dia menyilangkan jari telunjuk pada jari hantu nya

Karya terpelihara