Tidak aku sediakan setinggan beralas rentung
kalau mampu menghampar baldu dari angan
dan membina gerbang emas dari kerikil.
Tidak langsung aku sediakan kekabu keras
meneman mimpi,
jika termampu disarungkan sutera
dengan sejuta pelepah merpati dan kapas termahal
jadi teman baik, membuai malammu.
Tidak juga aku sediakan pinggan sumbing
mengalas nasi nan sesuap
lainkan boleh kutempa perak
digilap dan diisi dengan santapan bangsawan.
Tidak langsung terniat aku sediakan diri
dalam hina dan dina
kalau cinta ini termampu aku kuburkan,
dari melamarmu.
*apunpital*
suatuharidibulanOktober
kazamidori
Kenapa rasa sangat jiwang? ==!
setinggan cinta
Labels: koleksi puisi cinta katak , perasaan , puisi
cuma
Aku ada hanya tiga ringgit
dalam dua saku robek
juga dalam dompet sopek.
Dalam kepuk almari kopak
bersalut kulat dan kayu rabak
aku cuma punya tiga helaian
pelikat lusuh, baju sepuh
seluar tak berbasuh.
Lain, di sana ada tiga kertas
akhbar balutan nasi lemak
cek palsu dari menteri
memo pemaju mahu roboh rumah
buat gelisah, sampai harini aku cuma
makan, tidur dan memandang dunia
menghisab nasib tiga anak ini.
apunpital
entahapekejadah
Hujan Musim Luruh
Tak banyak dapat dibicarakan
dalam lepas waktu gelap ini
dalam gigil kebil mata itu
dalam lepas tangan kita berdua
seperti hala hujan menitis pergi
juga seperti menjauh komulonimbus
dalam waktu tidak langsung pernah mahu
keberadaan ini rasa terlalu rungkap
untuk mengizinkan lebih lama lagi.
Hujan ini seakan merenjis sumpah
sampai tak mampu lama lagi berdiri
dalam kerumunan titis air
dan tak lagi untuk gigil tangan ini
mampu mengikatmu.
Mungkin memoir ini nanti bertakung
bersama hujan musim luruh
disejat mentari nanti jelang
dan bersemadi di langit cerah
namun, aku ini usang dan rapuh
melepaskan kau pergi,
mencemburui daunan kuning
jatuh dicumbu hujan
reput dipeluk bumi.
apunpital
hujan awal musim luruh
1:21 pagi
6 10 2009
kazamidori, saitama
Labels: alam , koleksi puisi cinta katak , perasaan , puisi




