Showing posts with label alam. Show all posts
Showing posts with label alam. Show all posts

mungkin sampai besok

Mungkin sampai besok saja
sisa sawah yang kontang bakal aku bajak
dengan lembu tua yang kau pegang.

kemudian aku semaikan biji benih memori
moga subur, dan tegap tinggi
sampai satu waktu berbuah
bakal aku siapkan sebekas
untuk kau,

moga kemudian, jadi subur
dan tegap tinggi dalam lilit ingatan.

atau, entah, mungkin saja akan mati
entah tak mampu berdiri lama
entah kelak ditabrak mesin baru,
dan hilang.

Maka biar aku sendiri nanti ada waktu
membisikkan ke telinga itu
dan kau sendiri menulisnya
ke dalam lembar-lembar ingatan
yang lusuh dan dijamah lupa,

tentang pertemuan dalam petak
penuh lumpur, kubang lembu dan parit tua,
tentang kita yang pernah sama
meraih hujan dari telapak doa
dan menjamah haruan dari bendang tua.

Kerna, mungkinsampai besok saja, aku tersisa
untuk terakhir melihat engkau melilit tali
pada kelikir,
dan hari ini, dengarkan,
Semacam itulah aku tertambat
antara kamu dan waktu.

dan mungkin lusa, aku bakal pergi
sebelum sempat dilampai liuk lentok
hijau dan kuning padi,
juga sebelum engkau dikejut beduk subuh.

apunpital
5:39pm
6/7/10
melaka-pokok mangga

Hujan Musim Luruh

Tak banyak dapat dibicarakan
dalam lepas waktu gelap ini
dalam gigil kebil mata itu
dalam lepas tangan kita berdua

seperti hala hujan menitis pergi
juga seperti menjauh komulonimbus
dalam waktu tidak langsung pernah mahu
keberadaan ini rasa terlalu rungkap
untuk mengizinkan lebih lama lagi.

Hujan ini seakan merenjis sumpah
sampai tak mampu lama lagi berdiri
dalam kerumunan titis air
dan tak lagi untuk gigil tangan ini
mampu mengikatmu.

Mungkin memoir ini nanti bertakung
bersama hujan musim luruh
disejat mentari nanti jelang
dan bersemadi di langit cerah

namun, aku ini usang dan rapuh
melepaskan kau pergi,
mencemburui daunan kuning
jatuh dicumbu hujan
reput dipeluk bumi.

apunpital
hujan awal musim luruh
1:21 pagi
6 10 2009
kazamidori, saitama

Hujan Lepas Kemarau

Bertahun sudah kita berpanas dahaga
bila satu negeri dijamah kemarau, bertahun.

haiwan ternak ( tenat ), pakaian koyak
sudah kita sembahkan jadi korban
meminta turun setitik dua hujan.

Pantas, bila makbul, datang hujan ribut
sibuklah semua bertepuk tangan
berselang gelak tawa paling galak

tak cukup lagi, kita tambahkan pesta
tari-menyanyi dengan cuma cawat tak berbasuh
sampai kotor keting dengan lecak lumpur.

Mestilah bergendang sakan satu negeri
asbab hujan lebat datang lepas kemarau
asbab sawah kebasahan lepas lelah kering
sambil mencanang cerita beras bakal jadi.

Pastilah kita gembira tak terlatah

sampai tak sedar rumah kehangusan dibakar petir
sampai lupa anak kelemasan ditelan banjir.

Kitapun teruslah menari.

*apunpital*
mei, 2009
kazamidori, saitama.
jepun.

buaian masa

Siapa terbuai pada lelap waktu malam?
Terhayun terus atas reput buaian masa
lupa tentang duri semalu bertaburan
pada alas tanah.

Siapa punya sedar, hilang bawah pohon rendang?
Terus buta pada jatuh daun kuning
berderai pulang ke peluk dekap bumi,
juga pekak pada jerit kasar rantai ikat buaian
bakal putus, bakal jatuh.”

Siapa tersengguk dengan dodoi goda angin?
Terus menghayun laju buaian mencari langit
belum sampai puncak bulatan
lagi putus rantai buaian
lagi jatuh
lagi terhantuk papan buaian
lagi berjurai darah, ke tanah juga.

Apunpital
Kazamidori
18 Mac 2009
5:27petang

"mungkinlah kita."

fuyu



Pokok kebotakan
Hujan berderaian
Pecah pada tanah keras.
Beku. Hari ini kaku.
Sejuk. Suhu celcius satu.

Kabus kepadatan.
Jalan kelicinan.
Salji kemungkinan.
Baju berlapisan.

Janji untuk penantian.
Aku bakal pulang.

apunpital
9:50pm
16-11-08
kazamidori-saitama

*fuyu = musim sejuk

orbital


Aku telah berdiri, lama

memandang 7 arca langit

tempat kau mendongak

dengan bicara angkuh


sebelum kau kenal bumi bujur

dan skala bintang buruj,

aku telah siap melukis peta

jalan bumi dan lapan kawan

gelap langit dan laju cahaya.


Waktu kerlip mata kamu

mencari helium juga hidrogen

8.31 minit cahaya jauh

Dalam 5500 celcius matahari.

kaki ini sudah menginjak

1/6 graviti lemah di bulan.


Aku telah lama terbang

dengan helaian benang karbon


menunggu kau keluar

dari orbital pangkin kayu.


apunpital

5-11-08

2:32 am

kazamidori-saitama

batu

Batu yang patut melompatkan jauh,
kita langkahi sampai berdarah
luka belum jauh mendalam jadi bisa
tapi usai merah pada kulit lecur.

Atas batu yang tajam merobek ini
kita terjelepuk bawah, sendiri
silang kaki tak simpuh sempurna
menggigil tahan perit meraja.

Pada kacau ini, belum lagi sesal?
terinjak pada batu yang silap, luka terus
walau tahu jalan becak sana
lebih janjikan langit untuk melayang.

Batu ini patut melompatkan jauh,
diam senang. Waktu kecewa mengalir
dari mata dan lecur robek luka
dari jiwa dan segala yang tertipu JUGA.

Diamlah, teruskan saja merangkak
di sini tiada tongkat atau tangan
teruskan merangkak semula, takdir ;
sampai tahu cara memilih dan memijak.


apunpital

phoenix

Phoenix mencalar marikh
planet merah lagi jadi sejarah
menahan golek roda bermata
bakal menanggung rajuk bumi.

Kita juga punya sejarah
pada batu nisan yang dipulau
bongok kita belum mahu habis
daulat Rajawali kuburkan saja.

Saat telagah singa rajawali,
dua dekad menunggu rayu
untuk daulat dirompak,
Phoenix terus gah melayang
sembilan purnama cuma
menapak pada arca warna darah.

Sekarangpun masih mengangguk lagi,
walau temasik terus mencalar-bakar
dari waktu jejak Parameswara
sampai turun Jack Union
kita diamkan rungkap mereka

Hari baru ini
dunia sambut Phoenix di planet batu merah
kita berkabung daulat pada Petra Blanca.

Temasik, dulukan pulau buangan~

apun
1:43pagi
28-05-08
kazamidori haitsu 2-saitama-jepun

tenggelam

Kita yang terjatuh
salam serat ketidak-tahuan
menenun sebarang kait
harap jadi setebar jala.

Dekat laut inilah
dengan alun lincah ombak
kita masih dungu langsung
jadi penunggu pada ketiadaan.

tangan ini yang menebar terus

tanpa tahu rajuknya laut
tanpa kenal ajuknya ikan
terus menunggu apapun sangkut.

Mengharap ikan bakal terbang

kurangnya seekor dua udang,
kalaupun sangkut butir permata
terus dipulangkan air semula.

Kita inilah yang enggan
menyelam lebih dalam, takut tenggelam
menelan lebih garam, takut lemas.
Langsung tertunggu dungu disini.

Tak pernah mahu belajar lagi

tentang ombak dan pantainya
kalaupun hari ini ada bah bertamu,
kita mampu hanya diam pasrah.

Kerna kita takut berenang jauh,
takut sesat dalam kerabutan
sedang lama sudah kita tenggelam
dalam derai ketidak-mahu-tahu-an.

apun
saitama
minggu tengah Mei 2008


komen
tenggelam di kapasitor


bunga

Bunga,
kelopak terus berlenggang lembut,
pada syurga merah jambu ; sakura,
mekar lagi, dalam mantan selimut ais,

jambangan, masih siar bertaut,
sehari lagi , sekali lagi, musim bunga,
bersamaku, meneman sukma luka,
memelukku, selubung senam luntur,

bunga,
dalam hujan sumbar, diruntun pergi
merejam warna cinta pepohon tua,
sebentar ; hakiki ; pergi lagi,
dengan wasiat daun muda,

belasungkawa kekasih baru,
jumpa lepas purnama dua belas,



senam II :: 3. warna asal (pd barang-barang yg disadur); hilang sepuh nampak ~ prb sesudah terbuka rahsia, diketahui kejahatan (kekurangannya).

sukma :: sl jiwa, nyawa

siar :: 5. membawa ke serata tempat, menyebarkan, menyeratakan;

sumbar :: Jw; bersumbar, menyumbar bercakap besar, menyombong:

runtun :: 1. menarik (menyeret) kuat-kuat, membantun, menyentak, merenggut: ia telah diruntun masuk ke dlm perahu; 2. sl mengambil dgn paksa, membegal, menawan, merampas, merebut: Melaka itu hendak diruntunnya; 3. ki mengalih atau menarik (perhatian, perasaan, dll): ia cuba ~ fikirannya ke babak lain; kisah yg dibentangkan dlm drama ini pasti dapat ~ perasaan siapa sahaja; ~ hati menarik hati; 4. = meruntun-runtun mendesak-desak, melonjak-lonjak (perasaan kerana terlalu ingin benar): hatinya ~-runtun hendak mengetahui kandungan surat itu;

daun

daun,
luruh berderai dari tetulang pohon,
bagai perasaan dari tunjang egois,

ganteng sangat ribut dari lariknya,
menyentuh sisa memoir ranting,
menyentap pergi segala, terbang;

rungkap musim luruh ini
pucat, takut kekuningan,
tak lagi ketahu-mahu,

daun, lerai semuanya,
pergi.

rungkap ; merungkap bercakap kasar (biadap).
ganteng ; Jw : cantik, elok dan gagah, tampan
ganteng ; (ganténg) Jk kental, beku.
larik II ; Jw † baris, deret;



DAUN di kapasitor

lukah

Lukah,
Bukankah dalamnya penuh bisa,
Lukah yang kau pelosor dalam,

Gelongsor lumut mati menarikku

….ke dalam

Antara ikat rotan kecil,
Lukah, bisa mengocak aur kecil,

Haruan terlepaskan,
Terlepaskan pada cintaku,
Lukah, dalamnya, sungguh.

mendung

dalam mendung waktu resah,
saat gulung kon ribut mendesah,
masih lagi hati berbunga,
bercambah dengan mentari mu,
walau belum pernah kau mahu,

pusarkan saja ranting rindu,
seksalah saja dahan cinta,
biar klorofil semangat lepuh,
hijau nafsuku jatuh luruh,
akar ini melepas janji tiada juga,

pada tanah tersemai benih cinta,
berganjak takkan walau seinci,
biar komulonimbus jadi payung,
biar hujan bawa lumpur mendera,
merencah segalanya ku sanggup,

tautan komulonimbus ini,
berkaki menyepuh langit jiwa,
masih hati ke angkasa tujuh,
menerobos gemawan legam kejam,
mencarimu, belum pernah gugup.


style :: quint (5 baris setiap rangkap)
suku kata :: dihadkan kepada 10 ( +- 2)
gambar :: curi devian art

soneta bulan


ada pudar warna biru pekat,
dekat ngerbang langit petang ini
terlitup hitam gemawan berat,
bulan, senja sudah datang lagi,

harap bulan, penuh cerah ngambang,
Tapi jelangmu masih terkatup rapat,
Moga beri aku ruang terang,
Namun sikit tak jua ku dapat,

Mahu sahaja tanganku singkap,
Tudung awan di wajah mu bulan,
Lengan pendek tak mungkin terdakap,
hatta, untuk nur mu pun ku segan,

untukku tiada lagi tenang
lepasnya hilang mentari petang.


p/s :: soneta :: sonnet

ada 4 rangkap.
3 rangkap pertama ada 4 baris / larik
satu rangkap terakhir ada 2 baris / larik

setiap larik / baris terdiri dari 10 suku kata.
rima kahir pada setiap larik / baris macam pantun.

selalunya (waktu sekolah) ditulis format rima akhir soneta (sonnet) seperti ini

abab cdcd efef gg

pancang aur


Pancang aur dekat tebing reput sudah,
Warna tua hijau coklat itu terbelah-belah,
Sama garisnya dengan baris anai-anai,
Lama sudah kering batang tua itu,
Selanjar naik busut dekat bawahnya,
Tegaknya seakan tak mampu tegar lagi,
Tunggu reput sahaja yang bakal jadi,

Walau lama benar kau jadi teman tebing,
Walau cinta benar kau tambat perahu,
Walau setia benar tebing denganmu,
Takkan mahu tunggu lama lagi,
Silap angin kuat goncang tegakmu,
Dengan perahu tua sekali hanyut,

Daun pun dah makin merah,
Akar mu aur, makin lemah,
Takkan tunggu lama lagi,
Sebelum patah tiba-tiba jadi,
Sebelum kau tumbang nanti,
Ganti naik pancang besi,

hujan ais

Versi Palestin

Setia aku tunggu rintik hujan ini menjadi sedikit putih.
menanti, waktu sejuk ini, bakal dibayar dengan titik salji,
tapi, Allah, pinjamkan awan gebu ini ke Ramallah,
sejukkan bahang pada dinding batu Gaza,
Bersihkan darah milik syuhadah.

Wahai khalifah dunia,
kecohlah dekat langit semoga salji yang turun,
bawa malaikat naik kembali bimbit doa-doa,

semoga retak-retak ais membawa kuntuman bunga yang mekar,
dan debunga terbang melata bawa berkah,
bawa benih ke benua terang lalu bercambah riang,
dengan izin "kunfayakun" , bakal bangkit jadi pohon gebu,
dan dengan qudrah-Nya, satu dunia mampu tumpang berteduh,
agar nanti dahannya mencapai ke syurga,
dan akarnya menghirup titisan-titisan kauthar,

mudahan di bawahnya kita berteduh terus,
sehingga datang TUHAN diiringi malaikat, memeluk sekalian kita,
dalam bunga ais, dalam pagaran Gaza,
semoga BaitulMaqdis dipeluki TUAN-nya.

****************************

Versi ka[wan]

Sahabat , Aku lihat hujan ais pagi ini,
mahu sahaja aku teriak untukmu,
kecoh dekat langit semoga salji yang turun,
bawa malaikat naik kembali bimbit doa aku,

semoga retak-retak ais membawa kuntuman bunga yang mekar,
dan debunga terbang melata bawa berkah,
bawa benih ke benua terang lalu bercambah riang,
dengan izin "kunfayakun" , bakal bangkit jadi pohon gebu,
dan dengan qudrah-Nya, satu dunia mampu tumpang berteduh,
agar dahannya mencapai ke syurga,
dan akarnya menghirup titisan-titisan kauthar,
mudahan di bawahnya kita berteduh terus,
sehingga datang TUHAN diiringi malaikat, memeluk sekalian kita,
bakal memeluk gentarmu, juga beri bunga ini pada senyummu
semoga hujan ais ini sejukkan hati-mu.

******************

Dalam sejuk musim ini, ada malaikat turun berjuta,
Khas untuk membawa doa meraka ke syurga,
Jadi benih untuk nikmat berganda.


airtangan kami, si ka[wan] , safwan dan wannor

salji

Kemarilah,menari dengan ku dalam lagu salji putih.
saat jejak ku merekahkan ais kecil ini,
biarkan badan kita melayang dengan lentoknya,
dakap aku dengan kulit telanjang mu,
biar warna kosong ini menyelimut kita berdua,

teruskan alun langkahmu atas lantas putih,
atas derai yang mencair dalam bahang kita,
bakal ia membeku antara jiwa,
terus merantai kita dalam gigil.

lekapkan badanmu, sampai rintik salji ini berhenti.



**dibantu oleh ucu_zu

laut

bayu laut yang bimbit haruman mu,
kadaran menari dengan pulas ombak,
bikin aku terperusuk ke lautan ini,
menjunam jauh ke dasar kosong,

mahu sebentar berdiri pegun di sini,
memijak pepasir yang bergulung.
menindih si cengkerang sepi,
biarkan jernih ini menyerap kisah ku,
lantas menyelimut karangan kecil,
bawa semua menyatu dengan masin ini,
bisa aku intai antara garis gelung air ini,

jauh sangat kah tenggelam dirimu
sampaikan selaut ini aku keringkan,
masih lagi belum tersejat peluh mu,
sejuta ikan aku turutkan,
masih belum jelang tanganmu,


seksalah aku selama lagi,
kala mentari mahu temani ku dalam sini,
biar saat nafas tinggal seumbut cuma,
menginjak ke langit tak bisa mahu,
kerana kau segalanya,
enggan aku terima selain dari segalanya.
apUn + denGan bantUan kekasih Pensel ku ::wannor::


putih benar


kalau hari ini warnanya putih benar

:::esok warnanya hitam mungkin, dan pekat

warna apa yang bisa ku calar pada jejak mu?

Warna apa yang mungkin tercalar pada langkah ku?

:::warna pelangi pada setiap langkah memori kita?
atau kelabu, setiap derapku yang ingin kau luputkan

kemari, pinjamkan telapak saat ini, dekat dengan lapan warna pelangi

:::sejak bila lengkuk pelangi itu warnanya lapan?

sejak, ada bayangmu tertinggal.. ada layang mu terpahat

:::maka, bakal datang gelap yang menghilangkan bayang dan semua hitam dan taufan, melepaskan layangku

bukankah pelangi itu selepasnya hujan?
Saat redup dari taufan, juga saat mentari datang

:::hujan juga mana mungkin sekali, malah ribut setia menanti.

Mungkinkah warnanya bakal terus begitu?

:::Maka telah ku katakan, warnanya kurang putih benar.


ditulis bersama rakan duet kesayangan ::wannor::

buih kecil


ada angin pada gelombang ini,
dekat jatuhnya aur-aur pada bibir,
terus pecah dalam retak buih kecil,

ada angin pada gelombang ini,
tegar menampar pasir yang terkaku,
sama letupnya dengan buih kecil,

aura aurnya, ada baur-baur kendur,
tanda surut pada larut-larut yang hanyut,

pantai, adakah berparut?
dek sisa yang terbisa?
kalaulah sepi bagai buih kecil,
biarkan pecah atas pasir sepih.

Karya terpelihara