tangsi

klik untuk membaca di kapasitor.net .

Petikan tangsi-tangsi gitar lama itu sedikit sebanyak memberi gelombang tersendiri dalam emosi aku, sedang dia masih senang memetik satu demi satu nota di sana, atas pentas, atas kerusi. Baju merah petak hitam yang memang jelas sengaja disarungkan ke susuk itu, kononnya mahu bawa arus indie. Ah, cukup aku normal dengan baju itu. Memang kemeja plaid itu cukup lazim dengan band indie Malaysia. Jangan persoalkan sebabnya, kalaupun ada kemungkinan, hanya mampu aku andaikan baju itu banyak hubung kait dengan jeans. Levi, Gap, atau syarikat lain yang aku tahupun tidak pernah memang banyak menjual baju sebegini. Itulah, baju semacam papan dam aji, di atas sana, dulu takkan pernah dia mahu beli sekalipun, tapi jelasnya sekarang ini tampak cukup bersatu dengan lunak suaranya.

Bibir itu terus terkumat-kamit, sambil matanya kadang terkatup rapat, menghayati bait-bait dalam setiap serat lirik. Mungkin juga, mahu mengelakkan gemuruh meilhat sebegitu ramai peminat melangu di hadapan sini. Tapi, dia sudah biasa dengan mini konsert, gig, atau jamming, tak mungkin masih lagi gemuruh melampau seperti waktu kali pertama dulu. Pastinya dia mahu membaca lirik dalam mindanya.

“Tutupkan mata dan bayangkan kamu sedang membaca di atas lembarannya.”

Dia yang ajarkan aku begitu, saat aku kehilangan kata suatu masa dulu. Sengih kecil. Sampai sekarang masih belum termampu, masih belum terdaya, masih belum cukup kuat untuk membaca apa ada pada lembaran mindaku pada masa itu.

“Aku seakan menjadi kamu
Hilang
Dalam ruang rapuh ini,
Aku tak mampu berteduh
Dalam ruang tunduk ini
Tak mampu berlentok,”

Mengesat hidung. Sekali-kali kasut converse high-neck warna putih rona bintang itu dihentak perlahan pada kaki kerusi. Saiz lima. Mungkin sudah membesar sedikit. Lima setengah mungkin, lihat sahaja bagaimana lincah dia berjalan sekarang. Cukup tak betah duduk diam, jadual cukup rapi, dengan kuliah, dengan latihan, dengan persembahan, dengan jemputan peminat. Masih panas. Macam orang muda bercinta. Sampai waktu bakal senyap, bakal ada celaru, bakal keliru, bakal tertipu.

“Kenapa awak selalu bawa binatang ni ke hulu ke hilir? Tak .. apetuh, tak rimas ke?” :-?

“Benda ni tak lah sebesar awak.”

“Wo, jadi, awak nak cakap, saya lebih rimaslah dari benda… benda… benda hampeh ni.” [o.0]

“Don’t dare to said like that my dear.” >:(

“What? Say benda ni hampeh? Ha, alif, mim, pa, ya, ha, se-ngal!” (o.X)~

“=P . Don’t dare to say, awak lagi rimas dari benda ni. Kalau awak ni boleh saya junjung, bakal saya junjung. Kalau awak ni boleh saya bahukan, mehlah naik, kalau awak nak tengok saya dalam wad sebab patah tulang belakang.”

“Eeeei. Awak ni, saya berat kurang 10kg dari awak yang boroi tu tau!”

“Pardon?”

“Me asking, why you bring that guitar everywhere? Before this tarak pun.”

“Because, I want to sing u a song.” (-.-!

“Ho!”

Matanya bersinar semacam mutiara baru lepas digilap. Lebih-lebih lagi dengan contact-lense mata kucing, ditambah dengan cukup eye-lid, maskara dan macam-macam lagi. Kadang-kadang wajahnya yang cukup mungil itu kelihatan macam watak salah satu cerita anime. Cukup geram, lagi-lagi bila dia tersenyum gebar bila aku menamatkan nyanyian satu lagu untuknya. Tepukannya walaupun dari dua telapak yang masih lembut, buat aku tersenyum bangga, walaupun sendiri tahu suara aku tak lebih semacam anak-anak kecil menyanyi lagu sekolah di perhimpunan pagi.

Itulah harinya, bila dia meminta aku ajarkan petikan gitar. Itulah waktunya, seorang anak gadis dengan gaun hitam rona kelabu, dengan tudung merah jambu, dengan jemari masih kaku memetik gitar usia enam tahun lebih. Suara masih seperti sekarang, lunak. Dek itulah, aku lagi senang membetulkan letak jarinya, membetulkan cara petiknya dari menyanyi. Pabila lelah dan malasnya bertandang, aku yang menjadi mangsa untuk terus-terusan jadi pemusik latar untuk nyanyiannya.

Aku seakan menjadi kamu
yang malang

Di tepian hari,
bersimpuh lembut tanpanya

Di tepian waktu
bersila kalut dengannya,

Kala itu kamu sendiri bisikkan ke kolong telingaku, beritahu aku, selain syurga, apa lagi lebih indah? Dari melihat bibirnya yang masih berkilat dengan lip-gloss itu sibuk terbuka-katup sampai kekeringan. Keghairahan, melihatnya menyanyi waktu itu, melebihi dari segalanya. Keghairahannya, pada muzik dan gitar coklat tua ini, melampaui kehendak.

Sampailah tiba waktunya, mungkin tiada salah seorang antara kami berdua dapat menjangka bakal wujud hari yang serupa itu. Macam satu plot yang tak pernah patut wujud.

Hari di mana tiada lagi perempuan mungil kecil yang bermain gitar tua di sisi. Tiada lagi seorang bernama teman, kawan, yang sifat cukup perempuan ayu. Tiada lagi, manusia yang aku kenal dahulu. Semuanya, dalam satu detik genting, dalam satu malam pening, dalam satu SMS penting. Aku semacam bermimpi dan terus bermain dalam mimpi sendiri, perempuan yang aku ciptakan dalam tidak sengaja, akhirnya menjadi seseorang yang aku cukup benci.

Tapi, terkadang
mahu melangkah jelang,
Siapa kamu mahu tentukan aku?
Membawa aku searus
dalam kepuk usang
terus membawa aku

dalam kepuk itu
tak mahu lagi
terus bersimpuh pada urat ini,

Dia mendapat tawaran dengan band indie yang merupakan band kawan baik aku sendiri. Itu bukan kali pertama, aku rasa, kali kelima mungkin. Empat kali, aku tidakkan, empat kali aku suapkan betapa aku benci, empat kali dia turutkan. Kali kelima, entah dengan rasuk apa, entah dengan sumpah apa, dalam enam puluh saat, semuanya tamat dengan kata putus. Kata putus, dia menjadi vokalis utama. Hubungan kami juga, putus.

Semuanya menjadi satu noktah.

“Kita bakal duduk semeja dalam dua kerusi berlainan.”

“Kita bakal makan, dalam satu pinggan tapi lauk berlainan.”

“Who said I want to eat with you?”

“Er…. Ha, alif, mim, pa, ya, ha, bo-ngek!” Matanya menjeling tajam. “Orait, someday I will be a great singer. And then u will beg me to the lutut tau. Then awak taula, betapa makan sepinggan dengan saya itu just like golden rain okey.”

“I don’t ever want diamond rainpun. I didn’t care, if I eat on the pelepah pisang,” aku diam. “But…”

“Hm.. please, I am joking, I will sing a song only, and only for you. But apa-apapun, you will beg untuk makan one pelepah pisang dengan saya”

Never, WEK!”

Never, dan tidak akan berlaku langsung. Malah, aku rasa ayat itulah penipuan paling jelak aku terima. Sekarang dia di hadapan ratusan peminat sendiri. Malah aku sendiri tenggelam dalam laut ini.

Wahai laila yang majnun
juga uda dara yang luka lara
tinggalkanlah versi aku
yang masih berbayang

pergilah dari sisi aku
yang masih tak pudar

Aku menolak kerusi plastik itu sedikit kebelakang. Sempat menjeling penonton lain di sebelah kanan yang sibuk terkumat-kamit. Aku bongkokkan sedikit mengambil beg kertas yang terpampang wajah seseorang yang seperti aku pernah kenal pada wajahnya, tapi jelas, tidak pada inti dan nafsunya. Kemudian, dengan sedikit menunduk, badan ini digerakkan ke celah-celah manusia yang dari tadi, rasanya tidak lepas memandang ke pentas sederhana besar itu.

Wahai tuah dan dewi ledang
beri aku ruang pada sempit ini,
beri aku luang pada sedikit ini
nanti mampu terbang
jauh dari sakit ini.

Aku sempat menoleh sekali dua, sebelum meloloskan diri ke kerusi terakhir dalam barisan ini. Sampai sahaja di situ, satu tepukan gemuruh cukup kuat, dari bawah pentas. Seorang demi seorang berdiri, dan dalam keributan itu, aku berundur ke belakang. Mencari pintu keluar. Mungkin daun pintu ini menjadi laluan terkahir antara aku dan dunianya. Mungkin dinding antara susur gajah di luar dan dewan ini menjadi pemisah pertama setelah sekian lama. Mungkin, darjat, angan, realiti, dan hidup mati antara aku dan dia akan terpisah dengan membran ini. Kemahuan.

Aku senyum kepada penjaga pintu di belakang. Dia senyum dan mengangguk kecil, seakan faham aku mahu keluar. Sesaat dua mata kami bertentangan, sebelum tangannya memulas tombol dan menolak pintu keluar. Angin bahang dari koridor menyapa ruang antara jemari ini, sebelum aku melangkah keluar.

Badan dipusing, aku memandang ke atas pentas.

“Kenapa awak sayang saya?”

“I have a lot of reason”

“Jadi beritahu saya, cerita semuanya sampai saya tertidur dekat sebelah awak.”

“Hmmm, hmmm, kejap ek. Hmm.. Hm.. Macam mana nak bagitau he?”

“Hmmm…” dia mengejek, matanya yang bulat itu diputar-putar. Sedikit tanda protes.

“Err… betullah ada a lot”

“In fact awak tak tahukan, kenapa awak sayang saya? Kan? La la la.”

Aku lepaskan langkahan terakhir, antara dua zon ini. Meninggalkan segalanya. Mengeluh.

“Tapi saya tahu kenapa saya sayang awak.”

Menoleh. Aku rasa aku belum pekak, untuk mendengar bunyi itu dari celah pintu yang masih terbuka. Aku juga tak rasa cukup dungu, untuk rasa suara itu bukan untukku.

apunpital
a time in 2008
kazamidori-saitama

jendela


Menunggu dari kekisi tingkap
dalam malam kelam langit hitam
terobos hutan kelam, semak balam

mencari tentang intuisi kekasih
hilang, pada lampau jauhnya masa
terpisah jauhnya resah.

Menunggu dari kayu tua jendela
bawah cahaya retak purnama
hilang, mana cinta nan satu
merentas laut dan benua
biarkan nafas terhela sendiri

aku telah menjadi tua
lama menunggu dekat jeriji
dulunya keras dengan janji
mungkin sekarang sudah cair
dimamah anai-anai dan kelkatu
yang meneman waktu lepas

dengan beban dan uban ini
masih mengharap kepulangan
dari rumah tempang
nan aku lahirkan engkau.

Apunpital
13-12-08
kazamidori


enam puluh saat


pinjamkan enam puluh saat lengan itu
untuk aku patahkan duri pada telapak
menyejukkan lelas kulit
dan buat kau tersipu senang,

leburkan benci yang kau simpan,
dekat hujung ruas jemari ini
genggam, semacam kerasnya ragu
yang menjadi dinding antara empat mata

lepaskan segalanya dalam derai
air mata,
dan duka ini,
tamatkan dalam enam puluh saat.

11:30 am
11-12-08
kazamidori

gadis semalam

Semalam ada gadis
diam berdiri di sana, hujung tiang
tempat terpacak lampu jalan
dan bendera pembangkang kerajaan

ramai memandang, mungkin cantik
mungkin mungil, mungkin gebu
mungkin seksi, mungkin ayu
mungkin manis, mungkin MELAYU
mungkin, dia sepatutnya tidak di situ.

Ada gadis semalam senja
teresak bawah samar lampu jingga
dengan gaun ketat merah pekat
dalam hujan ribut petang ahad
gigil dalam muka pucat

dia terus resah menunggu
terus basah di situ
kita semua telah melihat
dan dengan relax, langsung blah

pagi ini, beribu poster dan flyers
tentang gadis kecil hilang
dari semalam petang
bergaun merah pekat.

-versi betol telah tamat-


sesal, semacam mahu memutar masa.
"Ah! Tawarannya Ringgit 500ribu."


apunpital
10:15 malam
2-11-08
kazamidori-saitama

notalgia (read :: nostalkiah or nostalgila)



Isnin sudah datang
kita cepat berlari ke tepian jalan
menunggu bas kuning berkerusi koyak
dan bila asap hitam makin mampir
rengek enjin sudah tersenyap bentar
kita berebut memanjat tangga
dan berkejar memilih kerusi

dia yang rambut bertencho duduk di dalam
yang sayang tudung duduk di depan
kita yang mahu angin siang di tingkap

di situlah,
kau menulis nama kita
dekat belakang papan kerusi
"kawan selamanya"
dan aku tersenyum girang.

Baju putih, seluar biru,
beg swan, pembaris kayu
pensel HB, PJ tanpa sepatu,
buku BM garis tiga, penuh lirik lagu
kerusi meja katik, reput seribu
buku petak besar, betul cuma satu.

(berhenti kalau tak mahu perasaan diperbungekkan)

Tiga empat puluh tahun
selama tulisan itu masih tegar
malah seakan masih segar
kita sudah kelupaan sesama sendiri.

Dulu aku kejar dan kau lari
polis sentri, 1 2 jaga
sekarang, aku kejar sebab kau pencuri
polis di sini, jaga-jaga.

apunpital
7:13 siang
1-12-08
"kawan selamanya"

maut


Kelmarin kita main congkak
kau curi guli, tapi aku buat bodoh,

lepas tu kita main teng-teng
kau selumber pijak garisan
tapi aku wat buta

semalam, main batu seremban
bucket kau jatuh, tapi aku biarkan

dulu kau pernah pinjam pensel
tapi ngelat tak mo pulang
aku beli pensel baru dan diam

kau tahu?
Aku dah lama main hati
tapi kau main-main
kau memang cari maut

tadi, kau kata nak pergi sekejap
tapi sekarang kau dalam kain putih.
Aku takkan maafkan kau lagi

bukan sebab pensel
bukan sebab garisan teng-teng
atau bucket batu seremban.
tapi sebab kau bawa pergi sekali
hati aku, KAWAN.

-@pun-
15:30 , 26-11-08
aku takkan maafkan kau lagi!

kasta


Telah aku patahkan kayu reput
yang menjadi jambatan lama
antara dua petik tali gambus kita.

Dengan api dari batu sungai
bakinya telah terbakar jadi arang.
Padanya anai-anai terbang
ulat menerawang, habuk melayang
dalam ritual dan bahang,
cuma untuk simpulkan kita sealun.

Abunya, telah ditabur
ke pelosok rimba buat dijamah
cendawan masa dan kulat lupa,
malah ada sisa tertiup angin
satu dan satu, telah jatuh
atas tanah tuhan, semadi.
Kita semua, lama jauh
Pada takdir tuhan, hakiki.

Aku runtuhkan jambatan karut
yang lama jadi dinding percaya,
cuma mahu, lagu kita setali.

Apunpital
00:13 am
18-11-08
Kazamidori-saitama

fuyu



Pokok kebotakan
Hujan berderaian
Pecah pada tanah keras.
Beku. Hari ini kaku.
Sejuk. Suhu celcius satu.

Kabus kepadatan.
Jalan kelicinan.
Salji kemungkinan.
Baju berlapisan.

Janji untuk penantian.
Aku bakal pulang.

apunpital
9:50pm
16-11-08
kazamidori-saitama

*fuyu = musim sejuk

pusara


Kemari aku pelukkan pundakmu
dengan dekap mimpi paling tinggi
dan kenalkan cinta ini semacam langit
bersih dan cerah waktu siang

dan, lelas rambut biar aku sisirkan
dengan jemari kasar yang selalu
mengupil duri pada awan munggil,
semacam pipi dan selembut tiap
benang rambut ini.

Dengarlah, aku ini yang dungu
membentang tujuh jambatan pelangi
jadi alas tiap rindu pada telapakmu
jangankan terluka pada jejak
kepada setiap inci harap ini.

Pandanglah, aku masih berdiri
di depan pusara tempat kau senyap
waktu langit cerita kita ribut.

Aku yang hilang, cuma punya
hujan untuk jadi kawan
dan kamu yang pergi.


Apunpital
00:50 am
10-11-2008

kazamidori-saitama

filosofi kematian 2


Filosofi kematian 2



Kami nyalakan api pada lilin peringatan
jadi cahaya jalan yang pernah belum kau lalu.

Bahawa awalnya nanti
engkau bakal kenal siapa Izrail,
kawan yang sehari mengintai 70 kali
teman yang bakal memancing rohmu.

Dengan takrifnya bakal dikail
mungkin direntap, atau disentap.
Ringan persis tujuh ratus hirisan pedang
haus, tak terbalas tujuh lautan
pasti! Ini janji kerajaan TUHAN.

Jalan gelap inilah sakaratul maut,
Kiri, kanan, timur, barat ujian.
"Minumlah, ini ayahmu suapkan
itu ibumu susukan,
sana kawanmu tuangkan."

Ini kisah dramatul maut
Satu babak sebelum “TUP”
roh bakal tergantung antara bumi dan langit.

Ini lilin kedua kami nyalakan
kalau belum terang tentang
Qadar Tuhan.

projek filosofi kematian e-2
wannorasliza :: syah alam

apunpital :: saitama

orbital


Aku telah berdiri, lama

memandang 7 arca langit

tempat kau mendongak

dengan bicara angkuh


sebelum kau kenal bumi bujur

dan skala bintang buruj,

aku telah siap melukis peta

jalan bumi dan lapan kawan

gelap langit dan laju cahaya.


Waktu kerlip mata kamu

mencari helium juga hidrogen

8.31 minit cahaya jauh

Dalam 5500 celcius matahari.

kaki ini sudah menginjak

1/6 graviti lemah di bulan.


Aku telah lama terbang

dengan helaian benang karbon


menunggu kau keluar

dari orbital pangkin kayu.


apunpital

5-11-08

2:32 am

kazamidori-saitama

filosofi kematian 1

Episod satu ini bukan talkin
saat nafas sudah perlahan
juga bukan pemangkin
buat engkau bernafsu untuk mati.

Ini falsafah tentang kematian
yang kau kenal jelas dari dulu
sekian lama sering tercerita

filosofi tentang kamu

mata yang makin kuyu
rambut yang sudah layu
suara sudah tidak merdu.

Kenapa masih lupa?
Kau dan dunia sama-sama tua,
kenapa masih lupa?
Tentang filosofi kematian.

Aku ceritakan fakta jelas,
yang belum lagi jelas
kamu yang terkandas
dalam medium sendiri.


projek filosofi kematian
apunpital - saitama
wannor - syah alam

selainnya


Selain kamu siapa mahu?
Duduk lama di sini
berteman cumbu angin dingin
berbual tentang kesal dan harapan
buat aku sendiri senyum dan tegar.

Selain kamu siapa ada?
Menggelitik senang, waktu hujan renyai.
mengisi lelah dengan ceritera tiada gundah
melerai kelupaan pada pundak
sampai aku rasa lepas.

Selain kamu siapa lagi?
Menumpang sepunggung pada kerusi masa

sekali berdodoi lagu lelap
pada waktu mimpi lena

dan masa ini, kita berdua.


Selain kamu, ketiadaan
siapa lagi yang ada?


*apunpital
kazamidori
syawal-2008


sayang2


jangan nakal anak mama sayang, nanti kepala mama pening ;
jangan gatal cik abang sayang, nanti kuali saya baling .

sayang


jangan gaduh anak-anak sayang, esok dapat adik baru
jangan gaduh bini-bini abang, esok tambah lagi satu.

rahsia

sila klik play, untuk dapatkan bunyi latar.


Catatan Tanaka Ai ,10 September 2008 , 5:53 am.******* Station , Japan.

Cerita ini adalah rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Malah, tak ramai bisa menceritakannya, tentang seorang perempuan yang menunggu kekasihnya untuk satu masa yang panjang. Mereka tak pernah berkahwin, malah tidak mungkin. Tapi, masih di rumah yang kecil untuk memuatkan dua jasad, mereka berdua berkongsi satu nafas, setia bersama atas satu katil, berkongsi satu bantal, dan bersama dalam satu mimpi. Kalau mereka keluar, tak ada langkahan tanpa empat tapak kaki. Sesiapapun tahu tentang kisah mereka, tentang pasangan yang tidak pernah hilang salah seorang. Tidak pernah senyum mereka kurang. Sentiasa, bersama.

Sehinggalah, suatu pagi, di mana tak ada siapa pernah menduga, walaupun derai cahaya mentari dan bunyi burung pipit masih malar, tapi hari mereka bakal bergerakbalas dengan manipulasi takdir. Takdir atas sehelai surat yang membawa perpisahan mereka berdua. Pasangannya, menerima tawaran paling tak mungkin ditolak, malah impian sejak dari dia tahu makna angan. Menjadi pelakon dalam satu produksi filem besar di bandar. Di stesen inilah, dekat hujung sana, pertama kali dalam sejarah mungkin ajaib, mereka berpisah. Dekat kerusi sanalah, perempuan ini melihat pasangannya buat kali terakhir. Matahari musim panas, tak mampu menyejat air matanya, malah kalaupun musimnya penuh beku dengan salji, tak rasa mungkin bahang esaknya terkalah.

Teruslah, perempuan itu hidup keseorangan, dengan bilik kecil, dengan perasaan serba kerdil. Menunggu sebarang khabar berita dari si dia yang jauh. Satu waktu yang sangat lama, lebih lama dari helaian daun kuning jatuh berkecai, kemudian hijau kembali pada musim bunga. Sekejappun, dia mesti ada di pintu stesen, menunggu kalau mimpi untuk merangkul pasangannya terealisasi.

Survivalnya untuk menongkah sepi akhirnya tamat pada hujung musim bunga. Waktu sakura berterabur atas rerumput segar, waktu yang sama, di televisyen dia melihat perkahwinan pasangannya dengan selebriti terkenal. Matanya tak terkebil, tapi retaknya sangat jelas, dalam anak mata yang retak itulah, wajah pasangannya, dalam gaun putih tersenyum senang.

Puas dinafikan yang perempuan sedang berdiri gah dekat majlis mungkin paling gemilang itu adalah pasangan yang ditunggunya sepanjang ini. Tapi semuanya mustahil. Akhirnya, dengan kemustahilan untuk penafian satu magis realiti paling tragis itu, dia kembali ke sini. Stesen tempat mereka berpisah buat kali pertama dan mungkin selamanya, berdiri dekat hujung sana, memegang tiket bertulis nama bandar besar tempat pasangannya. Matanya cukup merah untuk menggambarkan betapa lama sudah dia menangis, keseorangan menunggu tren datang.

Waktu itu, 11:54 malam, hari Sabtu, 10 September 1988. Mereka katakan, perempuan itu terjun ke rel, meninggalkan segalanya selain titisan air mata pada kerusi di sana.

Perempuan itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius. Mayatnya telah dibakar walaupun tiada siapa yang menuntut abunya, walaupun orang yang paling ditunggu. Tapi, tak ada sesiapapun tahu, sebab dia masih di kerusi itu, setiap malam Sabtu, memegang sekeping tiket, dan masih menangis.

Cerita ini adalah rahsia yang hidup dalam masyarakat sekeliling ini. Kalau kamu tanyakan, sebab aku tahu ceritanya. Aku akan beritahu satu lagi rahsia yang tak pernah tercerita oleh masyarakat di sini.

Malam itu, waktu tren datang, akulah yang menolaknya ke rel.

Aku tak mahu l;agi keseorangan menunggu di sini.

***************************************

Tanaka Ai disahkan meninggal akibat bunuh diri. Laporan polis mencatatkan dia mengalami tekanan perasaan . Mengikut fakta dari pemandu tren, Tanaka Ai keseorangan sewaktu melompat. Ini adalah kes kedua di stesen ini, selepas kes pertama berlaku pada 11:54 malam, 10 September 1068, hari Khamis, juga membabitkan seorang perempuan bernama Tanaka Ai.

Tanaka Ai ,10 September 2008 , 5:53 am.******* Station , Japan.

stesen


Dalam stesen lama yang penuh debu
masih terlihat pegang tanganmu, terlepas
mana lebih jauh dari satu gerabak
yang kita sama pernah berdua.

Kamu, yang datang dalam subuh hujan rintik
meminta enjin sebentar berhenti di sini
untuk sekeping gambar waktu mentari memanjat,
masakan waktu gelincir terang
meminta untuk berlalu dahulu?

Pada esak sedang berjalan dari jendela kaca
pada sedu yang sedang menangisi waktu yang tenggelam
terlihatkah kamu?
Tentang sekeping filem hitam
di mana kita beradu memoir tadi siang.
Atau telah hanyut jauh dengan asap hitam pada serombong gelap
tadi ?

Terdengarkah? Bunyi gerak getar besi dan kerusi saat kamu
lafazkan kata paling agung waktu itu?
atau memoir itu sama pergi jauh,
dengan bunyi gesel rel karat.

?

ketika aku pejam dan segalanya penuh luka dan gerigi

bakalkah kau datang dan bawa aku keluar dari kalut ini?

Saat aku tenggelam dan segala nafas telah pergi,

mungkinkah kau tiba dan dakapku ke permukaan kembali ?


pinokio


Kalau benar dunia ini pentas
kaki ini lebih senang menjadi penonton
melingkar pada peha dan sekali-sekala
sibuk menghentak lantai kegilaan.

Senang mengikut lagu, yang sepatutnya
menyelimut ruang kosong pada tangsi.
Menarilah, aku suka lagi menjadi lukisan rumput
bila waktunya kuning maka kuninglah.

Tali ini bilakan mahu putus? ; Melepaskan aku pergi
dari beban skripsi dan literasi bohong.
Bukan kaki si penonton, atau lukisan rumput
aku tetap si pinokio kayu kalut dan berhayun.

Kenallah, Pinokio si boneka serba ribut
pelakun atas pentas serba kecil ; muka serba mungil,
dan malam ini aku akan minta bidadari
datang tukarkan nyawa ini dengan jantung

maka esok akanku tahu, rasanya tanpa tali.

klise


Kisah cinta kita adalah lagu yang selalu ada pada corong radio
malah kedengaran seakan mahligai itu masih utuh
dan kita, sibuk menari di dalamnya dengan iringan lagu paling lunak
setiap langkah bertaut atas lantai istana dari seramik parsi.

Kasut kaca own-made pada kaki mulusmu sekalipun tak
tercapai gaun baldu china yang melepasi tumit tinggi sadur emas.

Indahnya, sampai terlupa kita hanya berdua sedang berpaut
bila jam itu tegak ke atas, tangan kita makin gigil
waktu itu, bila bibir kita mahu berpaut dengan rona cinta
kau lari pergi jauh.

Jam 12, mimpi klise paling tak aku pernah mahu.

apunpital
5:33- 21 julai 2008
kazamidori

aku


Kalau orang tanyakan kenapa aku diam
akan aku senyumkan,
telah lupa
aku apa untungnya bicara.


4:23 ; 18/7 (membalas status "diam itu pintar" oleh fai)


Di sana tujuh jalan ke langit
terpagar den
gan awan gelap
tapi polos, rompong dan punah.


9:00 ; 17/7 (sempena musim panas yang bakal mungkin menghilangkan kutub utara)


Aku nampak nombor berterbangan
dalam rangka yang dungu.


16/7 (sempena debat dan nombor~)


malam

Malam telah datang
dengan angin menjilat kasar
tanah kontang,
pasir sama pergi jauh
tinggal kosong batu
dan kaku.

Kitakan pernah menyulam daun ini
jadi tangga untuk ke atas
mahu memetik pucuk jadi ubat
pada luka ini.

Pepatung pada sipi tangga ini
sekali terbang hinggap dan membawa
kita ke langit
meninggalkan pokok dan pucuk
tangga daun pun sama roboh.

Kadang lupa
masih luka berdarah
masih tanah kering.

Malam ini datang
pepatung langsung lepas
mengejar pasir terbang
dan kita jatuh
pulang ke tanah kontang.

Luka lagi.



apunpital
10:09pm
13 Julai 2008
kazamidori grand height
~

Karya terpelihara