Syaitan tak masuk syurga

Apa mungkin toleransi lama mati?
Disepak terajang masa dan polemik,
maka, mudah sahaja berbicara alpa
percuma meminta permit syurga
untuk yang tak punya hak.

Sedang hutang-piutang darah pejuang
dulu habis digadai buat beli batu nisan
jadi benteng, jadi bentes negara ini
dari terus dicabul gerombolan syaitan,
masih lagi belum kering langsai.

Dengan rungkap, jelas tanpa segan
terus meluncur bicara penuh ironi
melawan sejarah berkulat di arkib.

Dari tempang pacak nisan-pacak nisan
dari cacat kudung datok moyang
sekarang hidup satu negara untuk semua
senang untuk senyum tawa bersama
bebas untuk bicara dengan saksama.

Mengapa kebebasan itu disalah guna?

Atau mungkin sudah terlupa
syaitan tak mungkin masuk syurga.

apunpital
kisah ironi chin peng
*june-2009
saitama-jepun

Karya terpelihara