kami jugalah


Membanting dunia ke sisi,
mencanting tanah dengan darah,
menggunting angin dengan serakah,
itu kami bukankah,

Enggan menggali ke dalam tiap serat,
malas mencari dalam tiap ikat,
terus angkat keringat jadi azimat,
jadikan sekain konon berkat,
itu kami bukankah,

Mencakar sampah dalam sungai karat,
penuh hitam warna cacat,
tepu dengan pekat lahanat,
inilah corak unting keringat,
milik kami jugalah,

Silang kata kosong,
kosakata bohong,
peribahasa rompong,
entah apa ada selain ketiadaan,

Datang dengan kecam,
pulang dengan uring,
datang dari kelam,
pulanglah kami, sebelum gering


a:ap:u:n
bilakan mencari bunga dari atas

curang


Bila kepak dan pelepahnya berguguran,
Ada apa bawa jasad berterbangan,
Bila tulang dan sendi tercabutan,
Ada apa bawa badan berjalan,

Mana pegi gebu mungil awan,
Mana hilang luas biru lautan,
buat aku tahan dari jatuh luluh,
buat aku tahan dari hati luruh,

aku siapkan kepak kesetiaan,
bukan niagaan, tiada tukaran,
bukan pinjaman, tiada raguan,

untuk bukan diselubung curang,
bukan dibuat barang dagang,
isinya tiada yang jalang,
kenapa tetap di hati berkapang,

kosongkah hati puteri untuk fahami,
kosongkah hati puteri untuk mengerti,

engganlah angin, seganlah bayu,
yang aku pingin, paling berlalu,
temani dingin, lemah layu,

yang aku ingin, diam kaku,

bila segalanya engkau endah,
bila semuanya jadi muntah,
bila bunganya kadar ludah,
bila sanggarnya runtuh punah

ada apa tinggal bawa aku terbang,
ada apa kuasa bawa aku berjalan

a:p:u:n
aku siapkan kesetiaan,
bukan untuk dibayar curang

harga cinta


Rendamkan aku dalam lautannya,
Biarkan saja aku mati kelemasan,
bakarkan aku dalam nyalaannya,
tinggalkan saja aku mati kerentungan,

pergilah, terbanglah,
lepaskan aku dari bayangmu,
bebaskan aku dari kepakmu,
bukankah itu nafsu mu?
bukan itu yang aku mahu.

Terbangkan ke taman syurga,
Layarkan ke sungai cinta,
Menggoda ke hujung muara,
Menunggang ke puncak dunia,

tegahanku kau cairkan,
rayuanku kau abaikan,
pertahananku kau robohkan,
kawalanku kau longgarkan,

engkaulah teman, engkaulah syaitan,
dara kau pecahkan, benih kau tanamkan,
bila perut jadi bulan, semua kau tinggalkan,

wahai si bangsat,
apa mahu kau selamatkan dengan tangan pendekmu?
apa mahu kau padamkan dengan peluh hangitmu?
apa mahu kau bawakan dengan serakahmu?

Inilah harga cintaku,
Rendamkan aku dalam lautannya,
Biarkan saja aku mati kelemasan,
bakarkan aku dalam nyalaannya,
tinggalkan saja aku mati kerentungan,

selamat hari jadi wahai si kamu

Selamat hari jadi wahai si kamu,
bicarakan niat besarmu,
bacakan keratan mimpimu,
khabarkan selaut hendakmu,
bayangkan warna indahmu,
hari ini milik kamu,

selamat hari jadi wahai si kamu,
ada bulan jadi kek bulatmu,
ada bintang jadi lilin kecilmu,
ada bayu jadi nafas pendekmu,
ada daun jadi tamu partimu,
ada embun jadi ratu tarimu,
ada unggas jadi lagu serimu,
ada hujan jadi peluh dahimu,
malam ini untuk kamu.

selamat hari jadi wahai si kamu,
sediakan perkakas,
ada angin bakal mengisi,
siapkan bekas,
ada dingin bakal memeluk,
malam ini bersama kamu

selamat hari jadi wahai si kamu
tidak perlu berdiri dengan sepi dan sendiri,
tidak perlu menanti dengan gigil dan kebil,
mari tiup bintang malam,
mari kerat bulan kelam,
mari sambut dalam diam,
malam ini hadiah kamu.


niGht alOne oN 8th OCt 2007

mencari bintang

mencari bintang di balik bulan,
adakah cahaya di atas sana?
mencari sayang di balik awan
adakah cinta di hati sana?

Menunggu pada hujung muara,
bagai pangkalnya hilang,
menanti sayang yang tiada,
bagai akalnya hilang.


berjalan ke kaki pelangi,
tiada lelah penatnya,
bertatih ke pintu hati,
tiada susah pernahnya,



hijau-hijau si pandan wangi,
tetap tak semerbak kasturi,
kejar-kejar si buah hati,
tetap tak setapak berhenti.


mencari bintang di balik awan,
terbangpun belum ku dapat,
mencari sayang di balik angan,
bayangpun belum ku dekat.



Karya terpelihara