seakannya



seakannya mahu menulis, tapi jemariku kaku, malah sarafku seakan beku,
seakannya mahu menari, tapi kaki ku kayu, mungkin aku ini bangku,
seakannya mahu menyanyi, tapi suara kurang merdu, yang keluar bunyinya sendu,
seakannya mahu menangis, dengan mata yang layu, juga rasa yang sayu.

pengemis


Dia nyanyikan lagi lagu si pengemis,
Mengintip apa ada pada retak dari langit,
Mengutip apa ada dekat celah dari tanah,
Meminta lagi dan sentiasa terlupa,

Inikan hakikat lagunya si pengemis,
Yang kau hina dalam setiap batang jalan,
Yang kau caci dan maki dengan kepul-kepul darah dan kepuk-kepuk bisa.

Bencinya kamu pula bagai duri,
Sembilu yang bergerigi deras dekat cuping hati,
Bila nyanyiannya datang, itulah hantu,
Bila tariannya berulang, itulah dungu,
Kelmarin sudah, semalam sudah, harini lagi dia kembali,

Inikan hakikatnya lagu si pengemis.
Meminta lebih dan entah bila mahu jadi pengingat,
Sampaikan lupa, gaji hariannya lebih dari kamu.

Baru tadi dia menyanyi dengan badan gering,
Sekarang dalam KFC dengan ayam goreng,
baru tadi dia menari pilu dekat bawah panas,
sekarang goyang kaki dengan mee goreng pedas

Inikan hakikatnya si pengemis,
Patutlah kau hina, patutpun kau caci dan maki.

berapa?



Berapa harga untuk seorang suami?
Bermadu tiga atau belaian manja

Berapa harga untuk seorang lelaki?
Sepenuh hati atau seluruh harga diri,

Berapa harga untuk seorang jantan?
Seks berkualiti, atau badan yang seksi

Terus, mulutnya masih bertanya.
Aku kebisuan, hati pula kecelaruan,

Berapa harga untuk seorang perempuan?
Maruah atau percikan darah,

Berapa harga untuk seorang wanita?
Pisau kikis atau seorang pengemis.

Berapa pula harga kamu?
Percintaan lara atau kesetiaan dusta…

Mulutnya terdiam, kami mengira ketepuan.

Berapa pula harga untuk pencipta lelaki dan perempuan?

dongeng


Ianya seakan sebuah cerita yang terlupa penamat,
Juga sebuah lagu yang tak pernah henti,
Sebuah kisah kepada sebuah penceritaan,
Semakin lamanya, belum pernah tak kedengaran,
Semakin tuanya, belum lagi tak kepinginan,

Nah, sahabat.
Sekali lagi, dengarkan aku sebuah dongengan,
Yang dunia ini selamat,
Dan kamu itu ada,

Sekali lagi, bisikkan aku sebuah khayalan,
Yang depan ku selamat,
Dan kamu itu bersama,

Sekali lagi dondangkan aku sebuah rekaan,
Yang hidup ku selamat,
Dan kamu itu setia,

Jangan pernah habiskan, jangan.
Jangan pernah titikkan, belum lagi.
walau aku tahu, momokanmu hanya kekurangan
yang kamu tahu, hakikatnya hanya ketiadaan.

Ianya, memang sebuah cerita yang tiada penamat,
Juga sebuah lagu yang tak mungkin berhenti.

aku dan kamu


Aku ini. Seakan sedang menjadi kamu yang hilang
Dalam ruang lepuh yang rapuh ini, tak mampu berteduh
Dalam ruang duduk yang tunduk ini, tak mampu berlentok,

Aku ini, seakan mahu menjadi kamu yang malang
Di tepian hari-harinya, bersimpuh lembut tanpanya
Di tepian waktu-waktunya, bersila kalut dengannya,

Tapi, terkadang mahu melangkah jelang,
Siapa kamu mahu tentukan aku?
Membawa aku searus dalam kepuk usang,
Terus membawa aku dalam kepuk itu,

Wahai laila yang majnun,
Juga uda dara yang luka lara,
Tinggalkanlah versi-versi aku yang masih berbayang,
Pergilah dari sisi-sisi aku yang masih tak pudar,

Tak mahu lagi terus bersimpuh pada urat ini,

Wahai tuah dan dewi ledang,

beri aku ruang pada sempit ini,
beri aku luang pada sedikit ini,
nanti mampu terbang jauh dari sakit ini.

Karya terpelihara