enam puluh saat


pinjamkan enam puluh saat lengan itu
untuk aku patahkan duri pada telapak
menyejukkan lelas kulit
dan buat kau tersipu senang,

leburkan benci yang kau simpan,
dekat hujung ruas jemari ini
genggam, semacam kerasnya ragu
yang menjadi dinding antara empat mata

lepaskan segalanya dalam derai
air mata,
dan duka ini,
tamatkan dalam enam puluh saat.

11:30 am
11-12-08
kazamidori

gadis semalam

Semalam ada gadis
diam berdiri di sana, hujung tiang
tempat terpacak lampu jalan
dan bendera pembangkang kerajaan

ramai memandang, mungkin cantik
mungkin mungil, mungkin gebu
mungkin seksi, mungkin ayu
mungkin manis, mungkin MELAYU
mungkin, dia sepatutnya tidak di situ.

Ada gadis semalam senja
teresak bawah samar lampu jingga
dengan gaun ketat merah pekat
dalam hujan ribut petang ahad
gigil dalam muka pucat

dia terus resah menunggu
terus basah di situ
kita semua telah melihat
dan dengan relax, langsung blah

pagi ini, beribu poster dan flyers
tentang gadis kecil hilang
dari semalam petang
bergaun merah pekat.

-versi betol telah tamat-


sesal, semacam mahu memutar masa.
"Ah! Tawarannya Ringgit 500ribu."


apunpital
10:15 malam
2-11-08
kazamidori-saitama

notalgia (read :: nostalkiah or nostalgila)



Isnin sudah datang
kita cepat berlari ke tepian jalan
menunggu bas kuning berkerusi koyak
dan bila asap hitam makin mampir
rengek enjin sudah tersenyap bentar
kita berebut memanjat tangga
dan berkejar memilih kerusi

dia yang rambut bertencho duduk di dalam
yang sayang tudung duduk di depan
kita yang mahu angin siang di tingkap

di situlah,
kau menulis nama kita
dekat belakang papan kerusi
"kawan selamanya"
dan aku tersenyum girang.

Baju putih, seluar biru,
beg swan, pembaris kayu
pensel HB, PJ tanpa sepatu,
buku BM garis tiga, penuh lirik lagu
kerusi meja katik, reput seribu
buku petak besar, betul cuma satu.

(berhenti kalau tak mahu perasaan diperbungekkan)

Tiga empat puluh tahun
selama tulisan itu masih tegar
malah seakan masih segar
kita sudah kelupaan sesama sendiri.

Dulu aku kejar dan kau lari
polis sentri, 1 2 jaga
sekarang, aku kejar sebab kau pencuri
polis di sini, jaga-jaga.

apunpital
7:13 siang
1-12-08
"kawan selamanya"

maut


Kelmarin kita main congkak
kau curi guli, tapi aku buat bodoh,

lepas tu kita main teng-teng
kau selumber pijak garisan
tapi aku wat buta

semalam, main batu seremban
bucket kau jatuh, tapi aku biarkan

dulu kau pernah pinjam pensel
tapi ngelat tak mo pulang
aku beli pensel baru dan diam

kau tahu?
Aku dah lama main hati
tapi kau main-main
kau memang cari maut

tadi, kau kata nak pergi sekejap
tapi sekarang kau dalam kain putih.
Aku takkan maafkan kau lagi

bukan sebab pensel
bukan sebab garisan teng-teng
atau bucket batu seremban.
tapi sebab kau bawa pergi sekali
hati aku, KAWAN.

-@pun-
15:30 , 26-11-08
aku takkan maafkan kau lagi!

Karya terpelihara