seruling patah

Seruling patah itu masih bergemersik sumpah
merasuk hati ini sampai kebutaan,
langsung apa lagi yang nampak?
Lain dari percik musikal sumbang
yang merenjis kuburan lama terbiar.

Sumbang itu masih mampu merenggut
sampai mengejut bangun mayat nama rindu
dalam lahad jiwa ; tempat aku tanam semua
surat nota dan memoir kita berdua.

Kenapa lagi tertiupkan seruling
yang patah pada jemari itu?
Waktu aku paling pergi.

Kenapa lagi kau mainkan?
Lagu lama yang pernah menghujani
kisah usang kita.
Waktu belum kau tusuk sejarah kita
dengan hujung seruling

sampai mati epik kita dua.

Kenapa semula kau bangunkan?

apunpital
1:30pagi
14-4-09
kazamidori,saitama,jepun

aku tuliskan dalam diam


Aku tuliskan dalam diam
tentang rahsia berdua
langsung aku simpan rapi
dalam balang kaca paling kebal
yang kita cipta

dalam lengkung kaca balang
masih tersisa penuh sakura
jatuh bertaburan tadi siang
salah satunya terikat rapi
antara lerai rambut hitam itu ;

dan aku tuliskan dalam diam
tentang senyum kecil
waktu sakura itu berhayun jatuh
langsung terkejar dek jemari halus
sebelum kau isi senang
dalam tutup balang ini.

Bukan langsung hari ini sejarah
mungkin hanya sekelopak lumrah.

Maka cuma termampu mampu ;
aku tuliskan dalam diam
pada belakang lembar foto berdua

tentang ikat jari kita.

Esok siang, siapa mampu janji
tak terputus, macam lepas
kelopak sakura.

*apunpital*
10 : 29 malam
3 april 2009
edited 4-4-09
kazamidori

*samada sebab mood sakura, atau .....*

buaian masa

Siapa terbuai pada lelap waktu malam?
Terhayun terus atas reput buaian masa
lupa tentang duri semalu bertaburan
pada alas tanah.

Siapa punya sedar, hilang bawah pohon rendang?
Terus buta pada jatuh daun kuning
berderai pulang ke peluk dekap bumi,
juga pekak pada jerit kasar rantai ikat buaian
bakal putus, bakal jatuh.”

Siapa tersengguk dengan dodoi goda angin?
Terus menghayun laju buaian mencari langit
belum sampai puncak bulatan
lagi putus rantai buaian
lagi jatuh
lagi terhantuk papan buaian
lagi berjurai darah, ke tanah juga.

Apunpital
Kazamidori
18 Mac 2009
5:27petang

"mungkinlah kita."

Jalan Depan Istana

Jalan depan istana semalam bersepah
dengan lidah bangsa yang patah
dengan calar maruah ditarah.

Tar depan istana bercat darah
dari ketumbukan tentera bangsa
mahu selamatkan jiwa dirogol,
kemudian jadi sanskrit.

apunpital
9:32 pagi
8 Mac 2009
sehari selepas gerakan anti PPSMI di hadapan Istana Negara.

Hujan

Sebentar kita biarkan bunyi mendiam
menunggu hujan bertatih perlahan
mengira jejak lemahnya pada tanah
berderai, langsung jadi air yang lepas.

Sebentar kita diam, dalam
menunggu payung tua ini kembang
menyandar kakinya dengan lemah
pada tangan kita yang gigil tergenggam.

Entah langkah hujan yang keberapa
payung ini mengembang semacam bunga,
senang menyambut jatuhnya air.
Membiarkan kita kehujanan dalam cinta.

2-3-09
*5:07am*
apunpital
kazamidori

Karya terpelihara