Aku ini, adalah orang yang berlari
dari riuh rendah, hiruk pikuk,
resah gelisah dan sesak sibuk dunia
maka aku berlari.
Aku ini, adalah orang yang mencari
dari sedikit ruang, secubit lega,
sekelumit tenang, dan setitis privasi
untuk aku bebas berlari
Aku ini adalah orang yang pergi
jauh mahu aku pergi,
dari dekap kerja, cumbu pena
tindih-tindih jemputan di facebook
maka aku pergi, berlari, mencari
hidup aku sendiri.
Namun, nun jauh aku mencari
yang terjumpa adalah sekumpulan orang
yang turut sama berlari,
seperti aku, berlari mencari sesuatu.
Mereka ini berlari ke arah riuh rendah peluru
hiruk pikuk mortar, sesak sibuk peperangan
ke arah peluru berpandu, bom berantai,
derap mesingan, sepak terajang dan rantai kereta kebal,
hanya untuk mencari mati.
Mereka mencari janji Tuhan
dalam setiap jatuh titis darah
mencari bantuan tangan malaikat
moga turun bersama doa,
mencari syurga dalam rebah bata rumah.
Inilah, anak-anak yang kematian orang tua
bayi keputusan susu ibu,
balu di sisi mayat suami,
inilah 4.62 juta pelarian Palestin
pergi dari nama Mujahid,
berlari ke syurga jauh,
mencari syahid.
Waktu mataku berkelip melihat mereka,
aku tahu, aku ini cuma berlari pergi dari sia-sia
menuju ke mimpi kosong.
apunpital
18/7/10
jalan-jalan Melaka/precint 4 putrajaya
dibacakan sempena Hari Puisi dan Lagu, Lorong Seni





2 comments:
disleksia tu apa ya?
cemana ek, contohnya kita konpius mana satu kanan, mana satu kiri. camtulah
Post a Comment