harga cinta


Rendamkan aku dalam lautannya,
Biarkan saja aku mati kelemasan,
bakarkan aku dalam nyalaannya,
tinggalkan saja aku mati kerentungan,

pergilah, terbanglah,
lepaskan aku dari bayangmu,
bebaskan aku dari kepakmu,
bukankah itu nafsu mu?
bukan itu yang aku mahu.

Terbangkan ke taman syurga,
Layarkan ke sungai cinta,
Menggoda ke hujung muara,
Menunggang ke puncak dunia,

tegahanku kau cairkan,
rayuanku kau abaikan,
pertahananku kau robohkan,
kawalanku kau longgarkan,

engkaulah teman, engkaulah syaitan,
dara kau pecahkan, benih kau tanamkan,
bila perut jadi bulan, semua kau tinggalkan,

wahai si bangsat,
apa mahu kau selamatkan dengan tangan pendekmu?
apa mahu kau padamkan dengan peluh hangitmu?
apa mahu kau bawakan dengan serakahmu?

Inilah harga cintaku,
Rendamkan aku dalam lautannya,
Biarkan saja aku mati kelemasan,
bakarkan aku dalam nyalaannya,
tinggalkan saja aku mati kerentungan,

selamat hari jadi wahai si kamu

Selamat hari jadi wahai si kamu,
bicarakan niat besarmu,
bacakan keratan mimpimu,
khabarkan selaut hendakmu,
bayangkan warna indahmu,
hari ini milik kamu,

selamat hari jadi wahai si kamu,
ada bulan jadi kek bulatmu,
ada bintang jadi lilin kecilmu,
ada bayu jadi nafas pendekmu,
ada daun jadi tamu partimu,
ada embun jadi ratu tarimu,
ada unggas jadi lagu serimu,
ada hujan jadi peluh dahimu,
malam ini untuk kamu.

selamat hari jadi wahai si kamu,
sediakan perkakas,
ada angin bakal mengisi,
siapkan bekas,
ada dingin bakal memeluk,
malam ini bersama kamu

selamat hari jadi wahai si kamu
tidak perlu berdiri dengan sepi dan sendiri,
tidak perlu menanti dengan gigil dan kebil,
mari tiup bintang malam,
mari kerat bulan kelam,
mari sambut dalam diam,
malam ini hadiah kamu.


niGht alOne oN 8th OCt 2007

mencari bintang

mencari bintang di balik bulan,
adakah cahaya di atas sana?
mencari sayang di balik awan
adakah cinta di hati sana?

Menunggu pada hujung muara,
bagai pangkalnya hilang,
menanti sayang yang tiada,
bagai akalnya hilang.


berjalan ke kaki pelangi,
tiada lelah penatnya,
bertatih ke pintu hati,
tiada susah pernahnya,



hijau-hijau si pandan wangi,
tetap tak semerbak kasturi,
kejar-kejar si buah hati,
tetap tak setapak berhenti.


mencari bintang di balik awan,
terbangpun belum ku dapat,
mencari sayang di balik angan,
bayangpun belum ku dekat.



mana ubatnya

titis darah dari hujung mata,
lukanya tak seperti ada,
darahnya tak seperti merah
panas alir ke pangkal jiwa,

lukanya terubatkah?
nafas ini esaknya hilang
dendam ini elokkah?
jiwa ini nyawanya terbang

mana bintang pada siang hari,
mana bulan pada subuh sunyi,
mana nur pada malam sepi,
mana engkau pada saat ini,

nyata ini bagai tiada punca,
Pendam dendam pada nafas keras,
rendam geram pada kesah resah,
genggam kelam pada sedu kaku,

suram balam pada hatiku,
makin padam dek darah gila,
mana engkau pada saat ini?
mana ubat pada luka ini?




bisa kau berlari?

Bisa kau berlari lagi?
sedang pada hujung kaki,
bertatah arang berbara,
meratah telapak kecutmu,

bisa kau berlari lagi?,
sedang serpih yang dipijak,
menari tiap ganjak,
mengguris daging lembutmu,

bisa kau berlari lagi?
sejauh mana lagi mahu mu,
menapak riasan api,
mengorak hirisan duri,

bisa kau berlari lagi?
hujung dekat jalan ini,
ada lembut pada jejak,
ada sahut lagu belas,
ada sangkut ibu emas,

ada Dia menunggumu,
melihat, dan menanti,
sejauh mana bisa kau berlari.

Karya terpelihara